Tinjauan Astro AWANI mendapati dakwaan itu sememangnya berasas kerana didapati keadaan tebing sungai di sepanjang daerah berkenaan bukan sahaja terlalu hampir dengan kediaman mereka yang sedang dibersihkan, malah hanya kurang dari dua meter dari jalan raya di beberapa tempat.
Keadaan ini menggusarkan mangsa banjir yang masih berharap kediaman mereka di tepi tebing tersebut masih boleh diselamatkan.
"Kami harap kerajaan segera lihat isu ini kerana ini di luar kemampuan kami atau NGO dan sukarelawan. Ia (tebing) dah terlalu hampir dan saya tak dapat bayangkan andai sekali lagi hujan lebat berlaku.
"Seandainya berlaku seperti sebelum ini saya rasa habislah harapan kami yang berumah di tepi sekitar kawasan sungai ini," jelas Norhayati Hussein yang ketika ini sibuk membersihkan kediamanya yang turut terjejas akibat bencana banjir yang berlaku.
Selain itu juga lebih banyak jentera berat seperti jentolak diperlukan oleh kebanyakan pemilik kediaman bagi mengalihkan sebahagian besar kayu balak hanyut yang terkumpul di sekitar tebing sepanjang sungai berkenaan.
Sebahagian besar longgokan kayu balak itu berada berdekatan kediaman penduduk di sini dalam keadaan mereka tidak mampu menyewa jentolak untuk menglihkanya.
Ia merencatkan kerja-kerja pembersihan yang sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak di sekitar kediaman mangsa banjir di Hulu Langat.