'Kami mahu serangan di Syria dihentikan!' - Hizbut Tahrir Malaysia

Hilal Azmi
Disember 11, 2015 18:48 MYT
Salah seorang peserta demonstrasi bantahan serangan ke atas Syria yang diadakan Suruhanjaya Tinggi Britain dan Kedutaan Perancis oleh Hizbut Tahrir Malaysia. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Satu memorandum bantahan diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan Kedutaan Perancis oleh Hizbut Tahrir Malaysia bagi membantah serangan ke atas Syria.
Memorandum itu diserahkan sendiri oleh jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman selepas perarakan aman dari bangunan Tabung Haji ke suruhanjaya dan kedutaan negara berkenaan yang turut dihadiri sekitar 150 anggota pertubuhan itu.
Para peserta demonstrasi aman berarak membawa panji dan sepanduk. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Bercakap kepada media, Abdul Hakim berkata, pihaknya mewakili umat Islam Malaysia untuk menggesa Perancis dan Britain untuk menghentikan serangan yang banyak mengorbankan umat Islam di Syria.
"Gesaan kami ini adalah kerana serangan oleh Britain dan Perancis di Syria secara-terang-terangan membunuh umat Islam di Syria.
"Serangan itu turut mensasarkan kumpulan mujahidin yang memerangi Basyar selama ini," katanya ketika ditemui media di hadapan Pejabat Kedutaan Perancis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Mat Zani Ali ketika ditemui berkata, perarakan yang dibuat selepas solat Jumaat itu berlangsung hampir sejam secara aman.
"Tiada tangkapan dibuat kerana mereka telah mengikut segala peraturan yang ditetapkan polis," katanya.
Pelbagai mesej tegas disampaikan melalui paparan sepanduk dan plakad oleh peserta demonstrasi. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Walaupun dalam keadaan hujan lebat, para peserta yang bersemangat tetap meneruskan perarakan atas nama kemanusiaan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
#Bantahan #demonstrasi #Hizbut Tahrir #serangan Syria
;