"Kami mahu PPR, bukan kondominium mewah di sini" - Penduduk Datuk Keramat

Wan Syamsul Amly
Oktober 11, 2015 12:12 MYT
Pembinaan itu akan menafikan hasrat penduduk yang mahu PPR atau pembinaan RUMAWIP di sana. - Gambar Astro AWANI/WAN SYAMSUL AMLY
Kementerian Wilayah Persekutuan diminta menarik balik cadangan pembinaan projek perumahan kondominium mewah di Kampung Datuk Keramat yang berharga hampir RM1 juta di lokasi berkenaan.
Pengerusi Penganjur Perhimpunan Aman Himpunan NGO Penduduk Keramat, Norham Shazali berkata pembinaan itu akan menafikan hasrat penduduk yang mahu Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).
"Bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh meluluskan pembinaan kondominium mewah ini? Pasti penduduk di sini tidak dapat memiliki rumah ini yang berharga hampir RM1 juta.
"Kawasan ini pada asalnya di cadangkan untuk pembinaan PPR atau RUMAWIP namun apa yang berlaku sekarang sebaliknya," katanya semasa sidang media selepas himpunan aman penduduk Kampung Datuk Keramat membantah pembinaan kondominium mewah di sini hari ini.
Dalam pada itu kata Norham, hasil siasatan penduduk setempat turut mendapati kontraktor pembinaan yang diberi kuasa membangunkan kondominium mewah itu adalah daripada syarikat tidak bertauliah.
"Kelulusan ini hanya mengambil masa yang sangat singkat tanpa mengambil kira pandangan masyarakat setempat dan sensitiviti kawasan untuk pembangunan yang bersebelahan Masjid Mindef.
"Kawasan ini adalah tapak hijau pada asalnya. Jadi penduduk terkejut dengan pengumuman cadangan pembangunan ini tanpa sebarang notis atau papan tanda yang dinaikkan. Kita juga sudah membuat laporan polis mengenai dakwaan pencerobohan itu," jelasnya.
"Lokasi ini pada asalnya adalah untuk PPR atau kos rendah. Penduduk asal di kawasan ini pernah memohon dengan Pejabat Tanah dan Galian untuk mendapatkan lot tanah sebaliknya ditolak. Kini kawasan ini dijadikan kawasan hijau dengan penanaman 1,000 pokok dalam program sebelum ini," ujarnya.
Norham turut memberi amaran untuk mengadakan perhimpunan aman ulangan seandainya permintaan penduduk Datuk Keramat itu tidak ditunaikan.
"Kami mengecam tindakan Kementerian Wilayah dan DBKL ini. Kami juga tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan ulangan di hadapan Kementerian Wilayah jika suara kami tidak didengar," katanya.
Kira-kira 1,000 penduduk hadir pada perhimpunan aman berkenaan.
#Kampung Datuk Keramat #Kementerian Wilayah Persekutuan #Norsham Shazali #Projek Perumahan Rakyat #Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan
;