'Kami mahu Felda kekalkan sistem bayaran sedia ada'
Sinar Harian
Disember 12, 2022 09:10 MYT
Disember 12, 2022 09:10 MYT
KUANTAN: Seramai 671 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bukit Goh mahu kaedah pembayaran secara tunai bagi penjualan buah sawit melalui koperasi diteruskan berbanding melalui akaun bank secara bulanan.
Rata-rata mereka ketika ditemui Sinar Harian mengakui tidak bersetuju dengan kaedah pembayaran secara perbankan yang akan dilaksanakan oleh Felda bermula 1 Januari tahun hadapan.
Malah, mereka menyifatkan kaedah pembayaran secara tunai melalui koperasi Felda lebih mudah kerana kebanyakan peneroka sudah berusia dan sebahagian daripada ladang sawit sudah diuruskan oleh generasi kedua.
Peneroka, Mohd Nazar Mialam, 81, berkata, pembayaran secara perbankan yang mahu dikenalkan Felda seakan menyusahkan peneroka dan mereka terpaksa menunggu hampir sebulan untuk menerima wang tunai hasil penjualan buah sawit.
Sedangkan, warga emas itu memberitahu, peneroka perlu mendapatkan segera wang tunai bagi membayar sewa lori dan kos upah buruh yang menguruskan ladang sawit mereka.
"Kalau (bayaran) masuk bank susah, saya sudah berusia terpaksa keluar ke bandar untuk mendapat duit. Situasi ini sebenarnya menyukarkan kami.
"Jadi, kami minta supaya Felda kekalkan sistem yang sedia ada, kami jual buah sawit di kilang, kami boleh mendapatkan duit secara tunai di koperasi Felda dan ini memudahkan," katanya.
Seorang lagi peneroka, Nik Abdul Majid Nik Sin, 80, menyuarakan pandangan yang sama dengan Mohd Nazar.
Jelasnya, kebanyakan ladang diuruskan generasi kedua dan sudah pasti menimbulkan masalah sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun perbankan.
Nik Abdul Majid berkata, ramai peneroka asal sudah tidak mampu menguruskan ladang malah ada juga yang sudah meninggal dunia.
"Apabila hasil jualan dimasukkan ke dalam akaun ini akan menyusahkan anak-anak peneroka untuk mendapatkan wang. Ini kerana kebanyakan penama ladang masih lagi atas bapa mereka.
"Situasi ini akan merumitkan segelintir peneroka. Jadi atas sebab itu kami mahu Felda dapat kekalkan kaedah yang sedia ada.
"Kami sudah dicukup selesa dengan cara begini dan tidak membebankan kami," ujarnya yang mewakili suara peneroka di kawasan itu.
Sementara itu, Jefri Salim, 45, yang merupakan peneroka generasi kedua Felda memberitahu, pengurusan Felda perlu mengadakan sesi dialog dengan semua peneroka termasuk generasi kedua Felda bagi mendengar pandangan dan keluh kesah mereka.
Jelasnya, pertemuan itu dapat memberikan gambaran jelas keadah pembayaran sebenar yang diinginkan oleh peneroka.
Jefri mengakui pelaksanaan pembayaran secara perbankan ini mempunyai kebaikan dan keburukan kepada peneroka.
"Kita akui bila duit masuk akaun tiada ketirisan tetapi perlu dilihat daripada pelbagai sudut lain termasuk akaun bank siapa yang akan dimasukan wang, sedangkan yang menguruskan ladang adalah generasi kedua.
"Malah, kemasukan wang melalui akaun yang mengambil masa sehingga sebulan memberi kesan kepada peneroka.
"Bagaimana mereka hendak bayar upah pekerja, sewa lori sedangkan mereka memerlukan segera pembayaran daripada peneroka?" katanya.
Menurutnya, pekerja-pekerja tersebut tidak mahu menunggu sehingga hujang bulan untuk menerima upah mereka.
"Apabila bayar upah lambat mereka tidak lagi mahu bekerja dengan peneroka dan hampir 90 peratus peneroka bergantung kepada pekerja-pekerja asing untuk mengambil buah sawit serta menghantar ke kilang," ujarnya.
Mat Zahari Deraman, 74, memaklumkan, kesemua peneroka sudah berpuluh tahun menerima pembayaran yang dibuat secara tunai melalui koperasi dan mereka sudah cukup selesa dengan cara tersebut.
Sehubungan itu, katanya, tindakan Felda untuk menukar keadah pembayaran melalui perbankan itu menimbulkan keresahan kepada peneroka. -Sinar Harian