Kami 'lapar' di sini
Wan Syamsul Amly
April 4, 2013 07:48 MYT
April 4, 2013 07:48 MYT
MELAMBAI baki penduduk kampung yang masih menetap di pusat pemindahan sementara di sekitar Felda Sahabat pada Khamis terasa ada kelainannya.
Biasanya saya dan jurugambar Ahmad Amir Ariffin memang disambut oleh kanak-kanak (juga orang dewasa) yang suka melihat kehadiran kami kerana mereka tahu cerita mereka akan disiarkan di Astro Awani.
Lambaian pada Khamis itu sebenarnya adalah lambaian terakhir kepada Felda Sahabat sebelum saya berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Saya berharap dapat pulang semula ke sana suatu hari nanti untuk bertemu sahabat yang baru dikenali.
Keseluruhannya, tidak ada apa-apa lagi disini. Tiada lagi ketakutan, tidak ada lagi kebimbangan pencerobohan.
Apa yang tinggal ialah pembinaan semula kampung-kampung yang hancur, memulihkan semangat penduduk dan menanti subangan dermawan untuk mereka meneruskan kehidupan seperti biasa dalam sedikit waktu lagi.
Kampung Tanduo tinggal kenangan. Saya yang terkilan tidak dapat masuk ke kampung itu hanya mampu menyimpan rasa. Kampung itu kita simpan sahaja dalam memori penduduk dan petugas media di sini dengan kesimpulan ia bukan lagi sesuai untuk penempatan — tinggal padang jarak padang tekukur.
Bersalaman dengan petugas media, anggota keselamatan dan penduduk kampung, hati ini tersentuh dengan nasihat pakcik dan makcik yang sudah saya anggap seperti saudara mara. Ada juga yang memeluk saya — mana tahu ada yang hendak menjadikan saya menantu?
Satu perkara yang semua harus tahu, krisis ini merupakan permulaan era baru tahap keselamatan negara dan negeri Sabah khasnya.
Mungkin selama ini ada pihak yang alpa, tidak pernah memikirkan perkara ini boleh terjadi, terlalu selesa dan tidak sedar akan bom jangka — yang dianggap oleh penduduk di sini sebagai sesuatu yang menakutkan — meletus juga akhirnya.
Dan pengumuman kerajaan mengenai pelbagai fasiliti keselamatan baru tentu boleh jadi penyelesaian kepada masalah yang membelenggu.
Ketika bual bicara rakyat negara ini sudah terarah kepada pilihan raya umum — di sana isu itu masih dingin kerana bilangan mereka terlalu kecil.
Sempat saya berjumpa seorang dua penduduk asal di Kampung Tanjung Batu dan Labian yang sudah hancur rumahnya.
Mereka akan pindah ke balai raya di kampung masing-masing pada bila-bila masa sahaja.
"Terima kasih kerana siarkan kesusahan kami. Memang ramai yang bagi sumbangan, pakaian, tilam, cerek, periuk nasi dan peralatan rumah... memang terlalu banyak.
"Pindah mungkin esok. Ramai kawan-kawan di kampung yang sudah pindah beritahu susahnya apabila masuk ke rumah yang rosak."
Keluh kesah itu hanya sedikit saja daripada catatan peribadi akhir yang sempat saya rakam tentang peritnya membina semula kehidupan yang musnah; semuanya dapat saya rasakan.
Tidak tahu bila lagi saya akan sampai ke sana. Saya tinggalkan kampung-kampung yang musnah, Felda Sahabat dan Lahad Datu dengan pesanan penduduk yang masih terngiang-ngiang di telinga.
Memang mata saya bergenang ketika ayat terakhir ini ditaip di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
"Kalau mahu bantu.Tolong beri kami makanan."