"Kami jual sayur midin, paku-pakis, agar anak dapat masuk universiti..."
Astro Awani
Jun 3, 2020 21:12 MYT
Jun 3, 2020 21:12 MYT
Realiti kehidupan tidak selalunya indah. Ramai antara kita yang perlu berdepan dengan liku-liku dan cabaran kehidupan.
Namun, kegigihan yang ditunjukkan pasangan penjaja sayur midin dan paku pakis di Sarawak, Rombli Jusni dan Pauziah Razak, bertunjangkan satu tujuan, iaitu demi memastikan anak bongsu mereka dapat menjejakkan kaki ke menara gading.
Impian tersebut ditanam pasangan suami isteri itu dengan harapan pendidikan dapat mengubah nasib mereka sekeluarga.
Setiap hari pada pukul 9 pagi, Rombli dan isteri Pauziah Razak pergi ke hutan memetik sayur midin dan paku pakis sebelum dibersihkan serta dijual di pasar.
Sebagai ketua keluarga, kata Rombli Jusni, impian mereka sama seperti yang lain iaitu untuk melihat setiap zuriat mereka, menggengam segulung ijazah.
“Kalau dapat belajar sampai habis, senang untuk mendapat kerja. Tidak perlu menunggu lagi.
"Saya pun sudah tua. Tidak tahu lagi keadaan bagaimana, tetapi saya akan berusaha mengikut kemampuan demi mereka (anak-anak),” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Akan tetapi disebabkan kepayahan hidup yang dihadapi, dia mendedahkan ada antara anak mereka terpaksa melupakan hasrat untuk menimba ilmu setelah tamat pembelajaran di sekolah menengah.
Ujarnya, harapan untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga kini terletak di bahu anak bongsu mereka.
“Sampai bila hendak melihat keadaan ini. Apa yang terjadi di hutan, kita tidak tahu. Saya mahu anak saya belajar sebab itu saya berusaha mengumpul duit untuk membeli pakaian sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, anak bongsu mereka, Mohd Solehan Rombli, mengakui pernah berputus asa dan mahu mencari pekerjaan membantu keluarganya.
Namun, apabila melihat kepada kecekalan dan dedikasi ibu bapanya dalam mencari rezeki demi sesuap nasi menguatkan kembali tekadnya untuk belajar bersungguh-sungguh sekali mengubah nasib keluarga.
“Saya didorong oleh ibu saya juga kerana dia selalu berpesan untuk belajar bersungguh-sungguh. Tidak lupa Allah SWT.
“Saya perlu kuat kerana saya mahu belajar lebih jauh dan maju,” kata Mohd Solehan.
Buat masa ini, mereka sekeluarga mendirikan rumah di tanah wakaf dan berteduh di sebuah teratak yang hampir runtuh.
Namun kepayahan dihadapi mereka bakal berakhir apabila masalah yang dihadapi mendapat perhatian pihak Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak.
Menurut menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah, pelbagai bantuan telah diikhtiarkan bagi membantu keluarga Rombli.
Ia termasuk bantuan bulanan di bawah Skim Warga Emas berjumlah RM300 sebulan, bantuan Skim Baik Pulih Rumah di bawah kerajaan negeri Sarawak dan bantuan Persekolahan,” kata Fatimah.
Sementara itu, sukarelawan projek pertubuhan bukan kerajaan, Helping Unfortunate Groups and Society (HUGS), Mohd Sepian Abang Daud turut tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan sebuah rumah di tapak kekal buat keluarga berkenaan.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Datuk Seri Fatimah Abdullah
#Helping Unfortunate Groups and Society HUGS
#HUGS project
#Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti Wanita Keluarga
#Pauziah Razak
#Rombli Jusni