Kami hargai kebebasan akademik tetapi semua perkara ada hadnya - MPN
T K Letchumy Tamboo
September 3, 2014 19:02 MYT
September 3, 2014 19:02 MYT
Majlis Profesor Negara (MPN) melahirkan rasa bersimpati dengan Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azmi Sharom, yang didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Namun, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata setiap perkara ada hadnya dan semua orang adalah sama di sisi undang-undang.
“Untuk MPN, kami menghargai kebebasan akademik dan kami mahu ia dihormati. Namun, setiap perkara ada hadnya dan semua orang adalah sama di sisi undang-undang.
“Oleh sebab itu, kita tidak harus melampaui batasan. Sekiranya kita melampaui batasan, maka kita perlu menanggung akibatnya tanpa mengira siapapun diri anda,” kata Dr Mohamed kepada Astro AWANI.
Dr Mohamed menerangkan bahawa oleh kerana Dr Azmi telah didakwa, dia mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya di mahkamah.
“Mesti ada asas bagi pihak berkuasa untuk mendakwa Dr Azmi. Dr Azmi mempunyai hak untuk mempertahankan kesnya.
“MPN berharap dia akan mendapat perbicaraan yang adil dan penghakiman yang adil,” katanya.
Dr Azmi Sharom semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menghasut berhubung krisis perlembagaan Perak 2009, 15 Ogos lalu dan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Dr. Azmi didakwa kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.
Dr. Azmi yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Universiti Malaya (PKAUM) dikatakan melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos.
Dr Azmi juga didakwa dengan satu lagi dakwaan kerana menerbitkan kenyataan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) (c), akta sama.
Kedua-dua kesalahan boleh menyebabkannya dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali.