Kami hanya pendaki Busut

Zulkifli Mat Rawi
Januari 25, 2019 16:05 MYT
Team Busut mengamalkan moto mendaki untuk kesihatan dan tidak menjadikan puncak gunung dan bukit sebagai keutamaan. - Gambar koleksi Bob Rawi
AKTIVITI trekking atau mendaki bukit dan gunung bukan lagi suatu yang taboo dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Malah kini ia merupakan antara aktiviti sihat yang menjadi ‘trend’ dalam kalangan remaja, golongan profesional mahupun mereka yang berusia.
Namun, selain mencabar fizikal dan mental ia turut mempunyai risiko yang tinggi.
Ia tidak seperti mengembara ke luar negara (backpack) yang sering dilakukan secara solo.
Sebalikya, mendaki gunung memerlukan pengalaman, ilmu, peralatan dan strategi tertentu bagi menjamin keselamatan.
Tidak ketinggalan rakan ‘sekepala’ yang mampu menunggu dan melayan setiap kerenah di saat kita sedang pewai (istilah pendaki ketika sedang lemah atau keletihan yang melampau).
‘Sistem buddy’ (sentiasa berjalan dengan 2-3 irang) ketika mendaki amat penting supaya kita boleh mengawasi antara satu sama lain sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Atas faktor itu, satu inisiatif diambil bagi mewujudkan satu kumpulan kecil pendaki yang berkongsi hobi dan minat yang sama.
Bermula dengan perbualan di kedai kopi tiga tahun lalu, akhirnya Kumpulan Pendaki Busut (Team Busut) ditubuhkan.
Antara mereka yang bertanggungjawab ‘melahirkan’ Team Busut ialah Yusof Abu Bakar, Muhammad Safuan Rusdan, Alias Mat, Rizal Malik, Mohd Mukhlis Mohd Yusof dan Juhaini Abdul Rahman.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa ‘Busut’ dan tidak nama yang lain?
Menurut Muhammad Safuan, pemilihan Busut sebagai ikon kerana ia melambangkan sikap berkumpulan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anai-anai dalam membentuk sarang.
“Kalau kita perhatikan banyak contoh tauladan yang boleh kita ambil daripada anai-anai.
“Bermula dari kawasan tanah yang rata, namun berkat kerjasama dan saling tolong menolong antara satu sama lain mereka akhirnya berjaya membina sebuah busut yang besar,” katanya.
Sementara itu menurut Alias, nama Busut itu juga sebenarnya melambangkan sikap rendah diri.
“Setiap kali menyertai trip mendaki pasti akan ada yang bertanya berapa banyak gunung dan bukit yang telah di tawan?
“Jadi saya akan berkata, kami hanyalah pendaki busut sebagai simbolik jika dibandingnkan dengan bukit dan gunung,” katanya pula.
Menurut Rizal pula, sehingga kini Team Busut telah berjaya menghimpunkan hampir 80 orang pendaki yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Ada di kalangan kami yang masih menuntut di IPTA, golongan profesional, kakitangan kerajaan dan swasta serta tidak ketinggalan warga emas.
“Semua ahli Team Busut ibarat sebuah keluarga kecil, masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri serta paling penting semua saling hormat menghormati antara satu sama lain,” jelasnya pula.
Apa yang menarik, Team Busut bukan berasaskan keuntungan kerana tiada sebarang bayaran yang dikenakan untuk semua misi pendakian yang dianjurkan.
Walaupun baru ditubuhkan, namun rata-rata ahli Team Busut telah lama terlibat dengan aktiviti pendakian ini.
Malah ada yang telah bermula sejak di bangku sekolah lagi kira-kira 20 tahun yang lalu, namun itu tidak bermakna kami telah mahir dengan selok-belok hutan.
Ini kerana proses pembelajaran masih akan berjalan dan setiap kali menyertai misi pendakian pasti akan ada ilmu baharu yang akan kami kutip untuk dijadikan sebagai bekal pengalaman.
Setiap pendaki juga perlu tahu tentang gunung atu bukit yang mahu didaki termasuk maklumat mengenai kebenaran masuk, adakah ia dibenarkan pada waktu pendakian oleh pihak berkuasa berkaitan.
Maklumat sama ada gunung yang didaki berada di bawah jabatan hutan atau tanah persendirian juga perlu diketahui supaya permohonan permit dan kebenaran diperoleh daripada pihak terbabit.
Tahap kesukaran mendaki juga penting, kerana gunung yang rendah tidak bermakna mudah didaki dan sebaliknya.
Begitu juga, pendakian secara ‘day trip’ tidak bermakna mudah walaupun gunung atau bukit itu dikunjungi ramai orang, ia tetap berisiko jika tidak membuat persediaan secukupnya.
Namun apa yang dikesalkan dewasa ini, ramai pendaki muda cuba menonjolkan diri dengan melakukan sesuatu yang berbahaya demi mendapat pujian di media sosial, dengan harapan pengalaman yang dikongsi itu meraih jumlah like terbanyak.
Atas sebab itu juga, Team Busut mengamalkan moto ‘mendaki untuk kesihatan’ dan tidak menjadikan puncak gunung dan bukit sebagai keutamaan.

* Zulkifli atau Bob Rawi merupakan seorang pengemar aktiviti memanjat gunung dan sedang berusaha gigih menguruskan badan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Bob Rawi #busut #gunung #Malaysia #Zulkifli Mat Rawi
;