'Kami hanya lewat tiga saat' - G.Gajashantini
Astro Awani
Jun 6, 2013 00:13 MYT
Jun 6, 2013 00:13 MYT
Astro Awani sempat menemubual dua saksi yang nyaris menjadi mangsa runtuh tersebut G. Gajashantini dan rakannya R Thilasheni yang kebetulan dalam perjalanan dengan kereta dari Queensbay ke Sungai Nibong.
Walau masih berada dalam sedikit kegusaran, mereka lebih risaukan nasib seorang penunggang motosikal yang mereka dakwa terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Gajashantini memberitahu Astro Awani bahawa mereka ternampak sebuah motosikal ditunggang berseorangan di hadapan mereka dalam jarak kira kira tiga saat.
“Tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat dan ternampak jambatan yang sedang dibina runtuh di hadapan mata kami. Motosikal tersebut sudah tentu terperangkap di bawah runtuhan itu,” kata Gajashantini.
Pembinaan melibatkan kerja-kerja ke atas satu pakej Jambatan Pulau Pinang ke-2 yang masih giat dipersiapkan.
Walaupun sempat berhenti, Gajashanti mengalami sedikit kecedaran pada kakinya setelah beberapa serpihan dari runtuhan itu memasuki dan mengenainya.
Gajashantini yang berada di tempat duduk penumpang terkena serpihan besi yang terpelanting dalam kereta MyVi yang dipandu Thilasheni.
Mereka memberitahu kereta yang mereka naiki nyaris terperangkap di bawah runtuhan tersebut andainya mereka terawal tiga saat.
“Saya jangka kalau kami terawal tiga saat, sudah tentu kami akan terperangkap di bawah runtuhan itu,” kata Gajashantini yang berkerja sebagai jururawat di Island Hospital.
Namun demikian, kereta yang mereka naiki mengalami kerosakkan pada pintu sebelah penumpang akibat terkena serpihan yang beterbangan.
Kejadian yang berlaku pada jam 7.20 malam Khamis menyebabkan kerja-kerja pembinaan pada bahagian jambatan ini dihentikan serta-merta.