'Kami hanya dikompaun' - Restoran nasi kandar terkenal nafi ditutup kerana kotor
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2020 22:03 MYT
Februari 21, 2020 22:03 MYT
Pengusaha restoran nasi kandar terkenal di Jalan Gudwara, Pulau Pinang menafikan kedainya diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana kotor.
Sebaliknya, pengurus restoran Deens Maju, Mohamed Ismail Mohamed menjelaskan premisnya hanya dikenakan kompaun dan beroperasi seperti biasa hari ini.
Mohamed Ismail berkata, berlaku salah lapor yang disiarkan oleh akhbar tempatan berbahasa Inggeris bahawa restorannya ditutup selepas operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di premisnya semalam, menyebabkan perniagaannya terjejas.
Katanya, sepanjang restoran dibuka sejak tahun 2012 belum pernah sekali restoran mereka diarah tutup malam selama ini diberikan Gred A iaitu 88 peratus bersih.
"Hari ini memang dah lengang dah, berniaga langsung tak ada orang, (biasanya) waktu ini memang penuh tapi dah jadi kosong tiba-tiba pasal nasi kandar yang terkenal salah satu di (Jalan) Gudwara senyap sepi angkara berita palsu.
"Ini akan memberi impak yang buruk di seluruh Pulau Pinang dan Malaysia dengan keadaan koronavirus yang ada sekarang, tambah pula isu panas macam ni. Jadi diharap media tolong betulkan balik mengatakan kedai ini tak ditutup," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PRIM) Datuk Kadhar Shah Abd Razak berkata, pihaknya kesal kerana laporan yang tidak tepat itu menyebabkan perniagaan restoran itu terjejas teruk.
Sehubungan itu pihaknya berharap perkara sedemikian tidak akan berulang kembali masa depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di restoran berkenaan pada Jumaat.
Dalam operasi yang dijalankan semalam, sebanyak tiga buah kedai makan di arah tutup selama 14 hari berikutan kotor manakala tiga restoran nasi kandar termasuk di Jalan Gufear dikenakan kompaun kerana didapati tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Restoran itu dikenakan dua kompaun atas kesalahan menyimpan tepung di atas lantai dan telur rebus tidak dibasuh dengan bersih.
#Deens Maju
#Jalan Gudwara
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#MBPP
#Mohamed Ismail Mohamed
#nasi kandar
#pulau pinang
#restoran nasi kandar terkenal