"Kami elak beli daging" - Pengguna

Fauzi Suhaimi
Disember 28, 2020 18:31 MYT
Hasil tinjauan mendapati, rata-rata pengguna mengelak untuk membeli daging sebagai menu masakan masing-masing. - Gambar Astro AWANI / Fauzi Suhaimi
SUBANG JAYA: Permintaan terhadap daging khususnya yang diimport dari luar negara dilihat berkurangan sejak isu membabitkan kartel daging haram sejak beberapa hari lalu.
Hasil tinjauan Astro AWANI di Pasaraya Mydin di sini mendapati, rata-rata pengguna mengelak untuk membeli daging sebagai menu masakan masing-masing.
Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan pengguna memilih untuk membeli ayam dan makanan laut lain seperti ikan, udang dan sotong.
Seorang pengguna, Norahyani Ariffin, 51, memberitahu, dia berasa takut sejak isu itu timbul selain turut menimbulkan keraguan terhadap semua produk bahan mentah itu khususnya yang diimport dari luar negara.
"Sejak kes itu timbul, saya tidak membeli daging lagi kerana timbul rasa ragu dan was-was berkenaan status halal produk itu.
"Jadi kalau kami mahu beli daging, kami akan pergi ke tempat yang kami yakin seperti di pasar-pasar yang menjual daging tempatan," katanya di sini pada Isnin.
BACA: SPRM buka kertas siasatan isu kartel daging import guna label halal palsu
Seorang lagi pengguna, Salina Mohd Akhir, 51, berkata, kejadian seperti ini amat bahaya kerana melibatkan isu halal dan haram.
"Kita sebagai umat Islam amat sensitif dengan isu ini, kenapa mereka sanggup berbuat demikian sedangkan produk itu adalah produk makanan yang dijadikan menu makanan kepada semua orang," katanya dalam nada kesal.
Turut menyatakan rasa kecewa ialah, Aslam Ilias, 24, yang berharap isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan isu yang amat sensitif bagi umat Islam," tegasnya lagi.
#Astro Awani #Halal #Islam #Kartel Daging Haram #pengguna #daging lembu #daging kerbau #haram
;