"Kami diugut jika lancarkan mogok" - Penghantar makanan Foodpanda

Hasimi Muhamad
Oktober 1, 2019 00:11 MYT
Mohamad Faiz mendakwa pihak pengurusan Foodpanda mengugut memecat mereka jika menyertai mogok bantahan terhadap pelaksanaan skim pembayaran baharu. - Astro AWANI
Bukan sahaja pendapatan terjejas, malah ratusan penghantar makanan Foodpanda diugut pihak pengurusan syarikat tersebut.
Itu yang didakwa oleh wakil-wakil penghantar dari Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada satu sesi dialog di rumah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.
Menurut Mohamad Faiz Padzil, 20 tahun, pihak pengurusan Foodpanda mengugut memecat mereka jika menyertai mogok bantahan terhadap pelaksanaan skim pembayaran baharu syarikat itu.
"Kami memang tidak menentang mogok ini kerana hours kami telah ditarik sejak 30 Sept lalu.
"Walaupun kami tidak terikat dengan bayaran mengikut jam, kami tetap diugut di mana ID (pengenalan diri digital) akan disekat dan dihentikan.
"Bagi saya, mereka (Foodpanda) melakukan sesuatu yang tiada hak ke atas kami dan menjejaskan pendapatan kami," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Sementara itu, wakil penghantar makanan dari Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Syam, mendakwa perkara sama turut menimpa mereka.
"Kami diugut sebelum mogok berlaku kelmarin, pada Ahad, ada pihak pengurusan dari Kuala Lumpur turun dan berjumpa dengan RC (wakil Foodpanda).
"Selepas itu (perjumpaan), keluar satu kenyataan bahawa sesiapa yang menjalankan mogok pada Isnin akan dibuang kerja atau dimansuhkan ID," dakwanya.
Lebih 100 penghantar makanan terdiri daripada wakil penghantar di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur hadir pada sesi dialog tersebut.
Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung tindakan Foodpanda memperkenalkan skim pembayaran baharu yang dianggap tidak adil.
Antara isu lain yang dibangkitkan adalah pihak Foodpanda didakwa tidak berbincang dengan penghantar makanan sebelum melaksanakan sistem baharu; wakil Foodpanda tidak mengendahkan kebajikan dan aduan; dan pendapatan berkurangan sehingga RM500 hingga RM600.
Dalam skim baharu yang berkuatkuasa Selasa bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.
Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.
Pada 30 Sept lalu, sejumlah penghantar Foodpanda di beberapa negeri melancarkan mogok.
#food delivery #FoodPanda #Foodpanda mogok #Kuala Lumpur #Negeri Sembilan #penghantar makanan #Petaling Jaya
;