Kami dilatih agar menjadi serba boleh - bekas pramugara
Azyyati Ahmad
April 8, 2014 17:10 MYT
April 8, 2014 17:10 MYT
Ferri Anugerah Makmur merasakan pekerjaan sebagai kru kabin sebagai satu pekerjaan yang serba boleh.
Ferri yang juga merupakan bekas pramugara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menjelaskan, seorang anak kapal bukan sekadar berwajah cantik dan kacak tetapi dilatih pelbagai kemahiran untuk bekerja di dalam sebuah pesawat.
“Seseorang anak kapal dilatih untuk menjadi seseorang yang serba boleh.
Sebagai contoh, kita dilatih untuk menjadi bidan sekiranya berlaku sebarang kelahiran, dilatih menjadi doktor sekiranya ada kejadian tercekik di kalangan penumpang, diajar untuk membuat CPR, anak kapal juga diajar bagaimana menjadi ‘anti-hijacker’, iaitu bagaimana memujuk rayu seorang pengganas di dalam pesawat” katanya ketika hadir untuk wawancara Analisis AWANI.
Ferri yang telah bertugas sebagai pramugara selama 15 tahun di MAS serta sudah hampir 25 tahun bersara dari bidang itu mengakui beberapa anak kapal yang terlibat dalam tragedi MH370 adalah sahabat-sahabat lamanya.
“Kapten Zaharie merupakan sahabat lama saya, dia ketika itu bertugas sebagai pembantu juruterbang ketika saya mula-mula menceburkan diri dalam bidang kru kabin, begitu juga dengan Patrick dan Andrew Nari” katanya mengimbau kembali.
Ferri mengakui walaupun sudah lama bersara, rasa kekeluargaan dalam MAS masih kuat sehingga ke hari ini.
MAS menanam semangat bukan sahaja satu Malaysia tetapi sebagai satu dunia kerana kakitangannya yang terdiri daripada pelbagai negara seperti Jepun, China, Korea dan sebagainya.
“Di MAS kita diajar untuk bersatu, ini dibuktikan jika kecemasan berlaku, kita tidak akan meninggalkan pesawat sehingga semua penumpang turun.
“Jika ditakdirkan kita mati ketika bertugas, itu menunjukkan perjuangan dan jati diri kita” terang Ferri.
Ferri turut memberitahu setiap anak kapal akan menandatangani surat patuhan sebelum bertugas menjadi pramugari atau pramugara yang mana mereka perlu bersedia menyerahkan 100 peratus komitmen dan tidak akan mengambil tindakan sekiranya berlaku apa-apa kepada penerbangan.
Ferri juga melihat tragedi kehilangan pesawat MH370 pasti memberi trauma kepada anak kapal yang lain, namun beliau mahu perkara itu diambil sebagai sesuatu yang positif.
Beliau memandang perkara ini bukanlah satu bencana kepada MH370 tetapi sebagai satu dugaan yang boleh berlaku kepada mana-mana syarikat penerbangan.
“Saya melihat kejadian yang berlaku kepada MAS ada hikmah dan sebabnya.
“MAS membawa bendera negara kita, kekuatan MAS berdasarkan prestasi dan seluruh dunia melihatnya, dari tragedi MH370, MAS akan dapat perbaiki kelemahan yang ada agar ianya tidak berlaku lagi” katanya lagi.
Temubual penuh bersama Ferri boleh ditonton di sini.