Kami dah tahu pasal akaun Rosmah - Pasukan Petugas Khas

Astro Awani
Julai 10, 2015 19:12 MYT
Pasukan Petugas yang menyiasat isu 1MDB memaklumkan mereka sudah mengetahui tentang dakwaan RM2 juta dimasukkan ke akaun isteri PM.
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan mereka sudah mengetahui berkaitan dakwaan wang RM2 juta dimasukkan ke akaun isteri perdana menteri.
"Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh pasukan petugas khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan," kata Pasukan Petugas Khas itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh ketua-ketua di Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasukan Petugas Khas itu dalam kenyataannya turut menegaskan siasatan dijalankan dengan telus, bebas dan profesional serta berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
"Semua pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan," kata kenyataan itu lagi.
Pada Khamis, Sarawak Report mendakwa isteri perdana menteri menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Jumlah itu didakwa didepositkan seorang "pembantu peribadi" bernama Roslan Sohari menerusi lapan transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik "Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)" di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.
Sementara itu, portal berita Malaysiakini dilapor sudah menghubungi seorang pembantu Rosmah dan masih menunggu reaksi pihak beliau.
#isteri Perdana Menteri #Kenyataan Media #pasukan petugas khas #RM2 juta
;