Kami bukan binatang untuk dijinakkan, ulas Wira Perkasa kepada Nur Jazlan
Haider Yutim
Februari 23, 2014 17:35 MYT
Februari 23, 2014 17:35 MYT
Wira Perkasa hari ini menyelar kenyataan Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa supaya UMNO 'menjinakkan' Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
Ketuanya, Irwan Fahmi Ideris berkata PERKASA bukanlah binatang dijinakkan, dan Nur Jazlan seharusnya memahami tujuan serta matlamat badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan.
"Siapa Nur Jazlan mahu menasihati PERKASA?
"PERKASA adalah sebuah pertubuhan yang mempunyai matlamat yang jelas dalam mempertahankan dan memperkasakan agama Islam, mempertahankan hak hak keistimewaan bangsa melayu dan pribumi, memperkasakan kedaulatan raja raja melayu," tegas beliau dalam sebuah kenyataan pada Ahad.
Ketua sayap pemuda kepada NGO itu turut menafikan bahawa PERKASA pernah memaksa ahli-ahli untuk menyertai mereka seperti yang didakwa oleh Nur Jazlan.
"Perkasa tidak pernah memanggil atau memaksa ahli ahli Umno untuk menyertai PERKASA tetapi ada pelbagai alasan kenapa ahli UMNO tersebut menyertai Perkasa," katanya.
Tentang saranan Nur Jazlan supaya PERKASA 'menutup mulut' sekiranya tiada fakta yang hendak dicakapkan, Irwan berkata adalah lebih baik Nur Jazlan tutup mulut sekiranya beliau berpolitik atas dasar kepentingan individu dan bukan untuk bangsa dan agama
"Adakah beliau faham akan matlamat penubuhan Perkasa itu sendiri? PERKASA tidak perlu sesiapapun untuk dijinakkan," tegasnya lagi.
Selain itu, Irwan juga mendakwa bahawa UMNO kini sudah tidak mampu lagi membela nasib orang-orang Melayu sepenuhnya.
Katanya orang-orang Melayu sudah terlalu kecewa dengan UMNO itu sendiri, terutama dengan sikap pemimpin seperti Nur Jazlan.
"Fikirkanlah isu yang lebih membawa kebaikan dan keuntungan terhadap Melayu itu sendiri dan bukan menunding jari terhadap kaum Melayu yang sama," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Nur Jazlan yang mengatakan PERKASA hanya merupakan alat bagi UMNO.
Katanya jika UMNO masih lagi mempunyai pemimpin yang 'bodoh sombong', beliau meramalkan bahawa UMNO bakal akan kecundang pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Nur Jazlan dalam kenyataanya yang dipetik dari akhbar The Heat baru-baru ini telah menggesa agar UMNO menjinakkan PERKASA dengan meletakkan syarat dalam hubungannya dengan badan bukan kerajaan itu dan tidak membiarkan ia terus-menerus menentukan keadaan.
Katanya UMNO tegas memberitahu PERKASA supaya bercakap dengan fakta dan menurut Nur Jazlan sekiranya tidak ada apa-apa yang hendak dicakapkan, mereka (PERKASA) sepatutnya tutup mulut.
Nur Jazlan bagaimana pun berkata, PERKASA tidak mendiamkan diri kerana ia mahukan legitimasi.
Laporan The Heat itu turut memetik Nur Jazlan berkata kewujudan PERKASA tidak membantu UMNO sebaliknya menyusahkan parti itu, serta lebih merupakan satu ancaman kepada mereka.
Berikutan itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini telah membidas kenyataan Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan PERKASA satu ancaman kepada UMNO.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Ibrahim berkata ternyata Nur Jazlan tidak memahami erti demokrasi, di mana dalam kes ini merujuk kepada hak mengkritik dan menyuarakan pandangan.
Nur Jazlan mengkritik PERKASA selepas beliau pada akhir tahun lalu membidas badan itu yang mengancam sedia menggantikan UMNO yang kononnya tidak dapat membela nasib orang Melayu. Katanya, badan itu terlebih mengukur kekuatan dan pengaruhnya sendiri di kalangan orang Melayu.
Kritikan Nur Jazlan ketika itu adalah reaksi kepada ucapan Ibrahim semasa perhimpunan agung badan itu yang mengatakan UMNO sudah 'tidak bertaring, lesu dan lemah' dan PERKASA 'boleh jadi galang ganti' mempertahankan bangsa dan agama.