'Kami bukan bertapa dalam tandas, cuma nak hak guna sama rata'

Sinar Harian
Ogos 20, 2018 08:34 MYT
Linda berkata, tiada pun keinginan meminta hak supaya pihak berwajib menyediakan tandas untuk golongan transgender. - Gambar hiasan
KOMUNITI mak nyah tidak meminta perkara berlebihan kepada kerajaan sebaliknya hanya mahukan kehidupan tanpa tanggapan sinis oleh masyarakat termasuk perkara sekecil isu tandas.
Seorang mak nyah dikenali sebagai Linda, 29 tahun, berkata, dia dan rakan-rakan mak nyah lain tidak mahu ada diskriminasi terhadap mereka.
"Sebagai contoh, kami bukan nak tuntut hak kahwin sejenis seperti berlaku di negara barat, tetapi inginkan kehidupan biasa untuk memenuhi naluri wanita kami. Orang ramai terimalah naluri kami ini kerana kami bukan minta jadi begini melainkan sudah takdir.
"Kita minta hak sama rata bukan sampai nak hak tukar kad pengenalan sewenang-wenangnya," kata Linda yang mengakui perwatakannya sebagai mak nyah bermula sejak dia berusia belasan tahun.
Linda berkata, sebenarnya bukan sahaja dia bahkan komuniti mak nyah yang lain tidak mahu kehidupan mereka disertai diskriminasi termasuk isu kecil seperti tandas.
"Kami minta kebenaran guna tandas sama rata, takkan kami nak guna tandas OKU pula?
"Apa yang penting kami dapat buang air kecil dan air besar, kami bukan nak bertapa dalam tandas," katanya.
Linda pada masa sama sempat menyindir sinis terhadap sikap sesetengah wanita ketika menggunakan tandas wanita kerana kemudahan awam itu adakalanya didapati kotor serta bersepah dengan tuala wanita.
"Diri sendiri (wanita) pun tak betul. Isu tandas adalah isu kecil tetapi sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu," kata Linda sinis.
Bagaimanapun Linda tidak menafikan karektor segelintir mak nyah juga menyebabkan kemarahan masyarakat terhadap komuniti tersebut.
Menegaskan sekali lagi berkaitan soal penggunaan tandas, Linda yang berasal dari Perak berkata, tiada pun keinginan meminta hak supaya pihak berwajib menyediakan tandas untuk golongan transgender.
Sementara itu, seorang lagi mak nyah dikenali sebagai Amy, 23, bersetuju dengan pandangan rakannya itu bahawa isu tandas adalah perkara kecil yang sengaja dijadikan kecoh untuk mendiskriminasi golongan mak nyah.
Amy, mengakui menyedari nalurinya berubah kepada wanita sejak zaman kanak-kanak ketika menonton sebuah filem Hindi apabila dia merasakan perasaan yang begitu teruja meminati pelakon lelaki dalam filem berkenaan.
"Bukan sekadar minat tengok pelakon itu, tetapi saya rasa ingin memiliki lelaki. Dari situ saya menyedari naluri saya ingin menjadi wanita dan saya beranggapan saya ini adalah wanita yang terkurung dalam tubuh lelaki," ujar Amy yang berasal dari Pahang.
Sebagai komuniti mak nyah, Amy juga menyatakan, dia tidak meminta perkara berlebihan daripada sesiapa cuma meminta masyarakat supaya tidak memandang jelek kepada komuniti transgender berkenaan.
#Amy #bertapa #hak sama rata #isu tandas #LGBT #Linda #mak nyah #tandas #transgender
;