Kami beri David Teo tiga hari untuk minta maaf - GMPN

Astro Awani
Mei 18, 2017 21:13 MYT
Pada Rabu malam, berlaku kekecohan pada program TN50 apabila David Teo ditampar Mat Over dipercayai kerana bersikap kurang ajar di hadapan Datuk Seri Najib.
Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) hari ini menuntut penerbit filem Datuk David Teo memohon maaf atas tingkah laku yang didakwa mereka sebagai "kurang ajar" terhadap perdana menteri ketika program Dialog TN50 bersama penggiat seni di Seri Perdana, Putrajaya semalam.
GMPN juga menggesa Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth MIG itu jika beliau menolak tuntutan mereka.
Presiden GMPN Mejar (B) Razali Zakaria berkata pihaknya memberi masa tiga hari kepada David untuk berbuat demikian.
“Satu tindakan perlu diambil kepada David Teo ini bagi pengajaran kepada semua orang, tidak kira lapisan dan bangsa.
“Jangan biadap terhadap perdana menteri terutama sekali dalam majlis rasmi. Maruah perdana menteri harus dijaga. Beliau pemimpin kita.”
Razali berkata demikian selepas menghantar memorandum bantahan kepada David di pejabatnya di Petaling Jaya. Bagaimanapun, David tiada di pejabat ketika penyerahan dibuat.
Beberapa anggota dan pegawai polis turut berada di kawasan pejabat Metrowealth bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Pada Rabu malam, berlaku kekecohan pada program TN50 apabila David ditampar Mat Over dipercayai kerana bersikap ‘kurang ajar’ di hadapan Datuk Seri Najib.
Kejadian berlaku ketika David cuba bertanyakan soalan pada sesi program dialog tersebut.
#David Teo #GMPN #Najib Razak #Razali Zakaria #TN50
;