Kami bagaikan kura-kura dan Pakatan pula arnab - MCA
Astro Awani
Mac 1, 2014 10:44 MYT
Mac 1, 2014 10:44 MYT
Dalam persaingan sengit dalam merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, MCA meletakkan pihaknya sebagai kura-kura yang perlahan-lahan merangkak ke hadapan.
Dalam masa yang sama, pihak lawan, iaitu Pakatan Rakyat disamakan dengan arnab yang sombong serta yakin akan menang.
Analogi ini telah dibuat oleh Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, pada Khamis yang turut menolak andaian oleh beberapa penganalisis politik bahawa satu tsunami Cina akan sekali lagi berlaku dan menyebabkan BN kehilangan kerusi di Kajang pilihan raya kecil yang bakal menjelang.
"Walaupun saya rasa ia merupakan satu pertandingan yang sengit namun kita menolak kemungkinan tsunami Cina akan berlaku” kata Chong kepada Astro AWANI.
Mengakui sokongan daripada pengundi Cina masih rendah, Chong bagaimanapun berkata setakat minggu lepas, mereka menerima maklumbalas yang positif.
Ini terutamanya sokongan yang diberikan kepada calon MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang merupakan calon pilihan.
"Hubungan dengan kaum Cina semakin baik terutamanya kepada Mei Fun. Tidak perlu melaung ucapan atau perhimpunan besar-besaran, rakyat hanya mahu berjabat tangan dengan beliau. Kita lihat ahli-ahli MCA dari setiap pelusuk datang memberi sokongan padu dan bersatu. Keadaan itu jarang kita lihat dalam MCA hari ini’ katanya.
Walaubagaimanapun, Chong mengakui bahawa perkara tersebut masih ‘belum cukup’.
Dalam temubual tersebut, Chong turut memberi bayangan bahawa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai akan membuat satu pengumuman besar yang bakal memberikan kebaikan kepada Kajang dan juga rakyat.
"Kami mendapati di sana (Kajang) tiada lagi UBAH. Malah penduduk tempatan mendakwa mereka tidak berada di ‘poket’ ( Ketua Pembangkang ) Anwar Ibrahim, " tegasnya.
Chong juga mendakwa bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa dia tidak akan datang ke Kajang untuk berkempen.
"Lim berkata Anwar tidak perlukan dia. Itu adalah satu kenyataan yang bersifat sombong kononnya orang Cina di sana sudah berikan kemenangan ke atas Pakatan. Bagi MCA, kami masih mengharapkan undi.
Sedikit demi sedikit ke hadapan bagaikan perlumbaan kura-kura dan arnab” terangnya lagi.
Sementara itu, bekas anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Datuk TC Choong berkata bahawa pendapat penganalisis politik bukanlah mewakili pendapat penduduk tempatan.
"Ini hanya pendapat, bukan kenyataan. Saya telah melihat tiada sentimen UBAH berlaku, kerana tiada apa yang perlu diubah” kata Choong.
Choong berkata sesiapa yang mahukan perubahan perlu pertimbangkan suara yang mampu mewakili suara orang Cina di Selangor.
"Adanya pembangkang itu bagus, namun tidak bermakna ia mampu merubah kerajaan” katanya mengakhiri temubual.