Kami akan 'lawan' GHAH jelajah negara untuk pertahan Akta Hasutan - Mohd Khairul

Wan Syamsul Amly
September 15, 2014 07:57 MYT
MOHD KHAIRUL: Kami akan 'lawan' GHAH jelajah negara untuk pertahan Akta Hasutan
Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 akan bersaing dengan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di seluruh negara untuk merebut sokongan rakyat yang mahu terus mempertahankan Akta Hasutan 1948.
Fasilitatornya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, gerakan yang hampir seminggu diwujudkan itu sudah mengumpul hampir 1,000 tandatangan petisyen di atas talian selain menerima hampir 4,000 'like' di laman Facebook mereka.
"Selaku fasilitator Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 yang telah di lancarkan pada 10 September lalu, kami menghormati hak kebebasan bersuara kumpulan yang ingin mendesak pemansuhan Akta Hasutan 1948 selagi mana kebebasan itu diekspresikan di dalam ruang lingkup undang-undang negara.
‎"Kami juga telah melantik 47 orang sukarelawan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi membantu mengumpulkan tandatangan satu juta rakyat untuk menyokong Akta Hasutan 1948 di kekalkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Mohd Khairul mengulas pelancaran besar-besaran GHAH oleh lebih 112 pertubuhan masyarakat sivil bersatu yang membantah penggunaan berterusan undang-undang Akta Hasutan 1948 yang akan berlangsung pada malam Isnin.
GHAH merupakan usaha berpanjangan kumpulan itu bagi menentang akta yang dianggap penindasan dan satu keganasan politik.
Dalam pada itu, kata Mohd Khairul, pihaknya sudah memulakan siri jelajah penerangan ke seluruh negara bagi menerangkan kepentingan mempertahankan akta itu.
"Kita menjangkakan dalam mengumpul sasaran satu juta tandatangan rakyat dalam masa dua bulan.
"Kami juga mengucapkan selamat berjaya kepada GHAH yang akan dilancarkan malam ini dan berhak menerima ucap selamat sama daripada mereka," ujarnya.
Sementara itu, aktivis dan bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya, Hishamuddin Rais menjelaskan, kewujudan Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 merupakan perkembangan sihat yang dapat memberi pencerahan dari dua aspek berbeza.
"Ini perkembangan sihat iaitu kita akan dapat memberi pencerahan kepada dua pandangan berbeza dari satu akta yang menjadi hukum dan undang-undang negara," jelasnya.
Akta Hasutan 1948 sebelum ini telah dipinda sebanyak lima kali dah pindaan terakhirnya adalah pada tahun 1975.
Akta ini melalui seksyen 4(1) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan yang kemudian, hukuman itu dinaikkan kepada penjara maksimum lima tahun.
#1948 #akta #Azam #ghah #hasutan #peguam #petisyen #September