'Kami ada perasaan, maruah' - Sahabat OKU Perak buat laporan polis, mahu Kak Long mohon maaf

Aida Aziz
Mac 18, 2022 21:41 MYT
Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Presiden persatuan berkenaan, Muhamad Firdaus Ibrahim (berkerusi roda) di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada jam 5.20 petang tadi. - Astro AWANI
IPOH: Persatuan Sahabat OKU Perak hari ini tampil membuat laporan polis terhadap individu yang dikenali sebagai Kak Long 7E atau nama sebenar, Wan Nor Baizura kerana didakwa mempersenda orang kurang upaya.
Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Presiden persatuan berkenaan, Muhamad Firdaus Ibrahim di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada jam 5.20 petang tadi.
Muhammad Firdaus berkata, dia mewakili 150 ahli persatuan tersebut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada wanita tersebut agar dia lebih peka dan sensitif kepada golongan OKU.
"Benda ni sebab dah banyak kali, sebenarnya kita pun tak suka buat benda-benda macam ini.
"Tapi kita buat tindakan begini supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan. Golongan yang senang-senang mempersendakan OKU, menghina OKU itu bukanlah satu benda yang boleh dipermainkan.
"Kami ada perasaan, kami ada kehendak dan juga maruah. Ini perlu dihentikan. Kami berharap Kak Long mengakui dengan perbuatan yang dilakukan dan membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya yang hadir bersama-sama tujuh lagi ahli persatuan.
BACA: Hina OKU, "Kak Long" perlu buat permohonan maaf dan laksana aktiviti amal - Ras Adiba
Beliau menambah, tindakan mereka hari ini bukanlah bersifat menghukum tetapi untuk memberi kesedaran, bukan sahaja kepada individu berkenaan tetapi membabitkan semua.
Harapan mereka supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sekurang-kurangnya mengarahkan Kak Long 7E membuat kerja-kerja amal dan sebagainya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan wanita terbabit yang dikenali sebagai Kak Long 7E menunjukkan mimik muka serta perwatakan seperti OKU di media sosial sejak Selasa.
#Kak Long 7E #Persatuan Sahabat OKU Perak #laporan polis #Orang Kurang Upaya #mohon maaf #Muhamad Firdaus Ibrahim #Wan Nor Baizura #Balai Polis Sungai Senam
;