Kamera badan jadi 'fear factor,' tingkat integriti dan penguatkuasaan anggota, pegawai JKDM
Bernama
Ogos 30, 2024 06:00 MYT
Ogos 30, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan kameran badan (BWC) dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hampir 11 bulan lepas mampu meningkatkan integriti selain mengelakkan salah laku anggota serta pegawai di lapangan.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sejak mula digunakan pada Oktober 2023, berdasarkan rekod, aduan melibatkan salah laku anggota dan pegawai JKDM di lapangan menurun.
"Sebelum BWC digunakan, terdapat sembilan aduan dibuat melibatkan salah laku pegawai di lapangan. Bagaimanapun sejak ia digunakan, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
BWC adalah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.
Ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara dan digunakan oleh pegawai JKDM yang bertugas di barisan hadapan iaitu pintu masuk utama negara serta yang menjalankan operasi penguatkuasaan.
Anis Rizana berkata penggunaan BWC, yang dibuat selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 2019, boleh menjadi 'fear factor' supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku oleh petugas serta individu yang berurusan dengan JKDM.
"Hal ini berikutan rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit," katanya.
Beliau berkata JKDM sentiasa menyahut seruan Kerajaan MADANI untuk setiap kementerian dan jabatan mempertingkat tatakelola melalui penggunaan pendigitalan dan kecerdasan buatan.
"Justeru itu, JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini dan berdiri setanding dengan peredaran digital semasa," katanya.
-- BERNAMA