KAME 2022 mohon maaf tidak dapat teruskan misi tawan puncak Everest
Rahimah Abdullah
Mei 28, 2022 15:29 MYT
Mei 28, 2022 15:29 MYT
KUALA LUMPUR : Misi Keluarga Malaysia Everest (KAME) 2022 memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak Gunung Everest atas faktor cuaca dan keselamatan.
Bagaimanapun, Ketua Misinya, Azim Afif Ishak menjelaskan perjuangan yang tertangguh itu akan tetap diteruskan pada tahun depan bersama anggota pendaki yang sama.
"Saya daripada hati sedih dan kecewa tidak dapat meneruskannya tahun ini. Namun saya berterima kasih dan memohon maaf kerana tidak berjaya ke puncak tahun ini. Ini kami panggil sebagai perjuangan tertangguh supaya kami boleh beri semangat Malaysia Boleh kepada anda semua," katanya dalam satu sidang media secara maya di Kathmandu, Nepal pada Sabtu.
Azim pada masa sama melahirkan penghargaan kepada penaja, rakyat Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini banyak memberi kata-kata semangat bagi meneruskan misi menawan puncak tertinggi dunia itu.
"Penaja-penaja ini tidak akan hadir tanpa sokongan Perdana Menteri yang memberi kami semangat di mana pada 4 Mei lalu, beliau membuat panggilan sempena Hari Raya Aidilfitri. Itu suatu pengalaman dan tanda sokongan kepada kami.
"Kami akan pegang amanah ini hingga tahun depan agar kami dapat realisiasi KAME 2023 dan harapan saya agar 10 atau sembilan pendaki ini, akan berada di puncak tahun depan dan membawa balik kejayaan itu sebagai hadiah kepada tempat (negeri) masing-masing juga," ujarnya.
Dia dalam pada itu mengakui kekangan proses-proses tertentu dalam penyaluran dana oleh penaja menjadi halangan dan cabaran misi terutama dalam pembelian permit untuk ke kem-kem seterusnya.
"Kita berjaya selamatkan enam permit tahun ini, maksudnya kita tidak membeli 10 permit sebab kita tidak cukup tunai di tangan waktu itu.
"Penaja ada, tetapi waktu itu kita berlumba dengan masa dan cuaca. Jadi 2023 kita akan hadir ke Nepal seawal 15 Mac berbanding 15 April," katanya lagi.
Justeru, KAME 2022 mengharapkan rakyat Malaysia dapat memberi semangat dan sokongan kepada pasukan pendaki itu agar misi mengibarkan bendera Malaysia di puncak Everest dapat dilakukan tahun depan.
Misi KAME 2022 yang membawa 10 pendaki itu berlepas ke Kathmandu pada pertengahan April lalu.
Selain Azim, KAME 2022 turut disertai pendaki orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim, 31, bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42, Ahmad Murshid Maktar, 35, Ayu Wanirah Naharuddin, 29 dan Jack Oh Jin Heng, 37.
Turut menyertai misi itu ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54, selain tiga wakil Komando VAT 69 iaitu Kanang ak Usin, 42, Pragash Murugesu, 32 dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.