Kambing pun terkejut, beruk kentoi 'huru-harakan' kandang
Abdul Hadi Che Awang
Jun 9, 2019 06:15 MYT
Jun 9, 2019 06:15 MYT
Kampung Long Ban, Simpang Empat di Perlis gempar pada Ahad dengan kehadiran seekor beruk jenis - kentoi, yang dilihat berkeliaran di sekitar kediaman dan kandang kambing milik penduduk.
Penduduk berkata mereka tidak menjadikan beruk spesis ini sebagai peliharaan, kerana sifatnya yang agresif dan berbau busuk.
Ini sekaligus menolak andaian, ada dalam kalangan penduduk kampung yang membela haiwan spesis terancam itu.
Menurut pemilik kandang kambing, Mayahazir Abas, 43, dia menyedari kehadiran beruk kentoi itu kira kira jam 12.30 tengahari, selepas kambing belaannya mengeluarkan bunyi pelik kerana ketakutan.
Susulan itu dia mengarahkan ahli keluarganya untuk masuk ke dalam rumah ekoran bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Selepas menyedari kehadiran penduduk, beruk kentoi terus memanjat alang sebuah rumah penduduk.
Pengerusi Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abdul Rahman yang hadir bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam pada Ahad mengesahkan beruk terbabit datang dari kawasan bukit sekitar Kuala Perlis, dan mungkin terpisah dari kumpulan.
Ini merupakan kali kedua beruk jenis kentoi atau nama saintifknya Macaca Arctoides dilihat berkeliaran di kawasan penduduk selepas kejadian pertama di Kuala Perlis dipercayai dari spesis yang sama.
#beruk
#beruk mengamuk
#kandang kambing
#kentoi
#Perlis
#Perlis Nature and Wildlife
#simpang ampat
#Syamil Abdul Rahman