Kambing pun pandai beratur naik van ...

Ruzaini Zulkepli, Fifi Harteeny Marzuki
Jun 13, 2018 18:35 MYT
Meskipun pendapatan tidak seberapa, Md Amin tetap bersyukur dengan 'karier' baru ini selepas berhenti memandu teksi sejak enam tahun lalu sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam bidang penternakan kambing. - Foto Astro AWANI
Kalau orang yang naik van setiap hari tidak menghairankan, tetapi bagaimana pula sekiranya haiwan seperti puluhan ekor kambing menaiki pengangkutan itu semata-mata mahu mencari tempat makan?
Itulah yang terjadi di Petagas, Putatan apabila seorang penternak kambing, Md Amin Rahim, 63 tahun, mengambil kaedah tersendiri dengan melakukan rutin hariannya melatih dan membawa lebih 50 ekor haiwan ternakannya ke dalam van dimiliki untuk dibawa ke kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), setiap hari.
Gelagat haiwan ternakannya yang jinak dan mematuhi arahan tatkala Md Amin 'menyuruh' memasuki atau turun dari van tersebut mendapat perhatian ramai sehingga menjadi tular di laman media sosial selepas salah seorang pengguna Facebook memuat naik video berkenaan baru-baru ini.
Tinjauan di lokasi berhampiran KKIA hari ini, Astro AWANI berkesempatan menemuramah bekas pemandu teksi itu yang beranggapan berbakti dengan haiwan peliharaan adalah satu sikap terpuji selain menambahkan lagi rezeki yang dicari.
Sebelum ini, bagi mengisi masa lapang Md Amin akan menggunakan teksinya untuk mengangkut rumput ragut bagi memberi makan kambing-kambing peliharaannya di kandang namun semakin lama, perniagaannya itu semakin berkembang sehingga menjadikan haiwan ternakan tersebut membiak cepat serta tiada tempat lagi di rumahnya.
Menurutnya, dia sudah menternak kambing sejak tahun 2012 di kediamannya di Kampung Sindil, Petagas sebelum mendapat ilham untuk membeli sebuah van terpakai pada dua tahun lalu yang bernilai RM5,000 secara tunai berkat hasil penjualan haiwan ternakannya sebelum ini.
"Inilah terfikirnya daripada situ saya punya idea ni, memang kesempitan tempat (kandang) jadi dia sudah banyak.
"Jadi kalau hari-hari saya kerja begitu macam tu ambil rumput memang tidak laratlah jadi saya terfikir macam tu apa yang saya mampu saya beli van lah saya kasi naik," katanya.
Menurutnya, meskipun tidak sesenang mana, dia tetap bersyukur dengan 'karier' baru ini selepas berhenti memandu teksi sejak enam tahun lalu sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam bidang penternakan kambing.
Md Amin berkata, jualan untuk seekor kambing yang pernah dijualnya mencecah sehingga RM1, 500 dan ianya akan meningkat menjelang musim perayaan Aidiladha untuk dijadikan daging korban manakala pada tahun ini sahaja sudah 10 ekor dijualnya dan tiga lagi ditempah orang.
"Kalau saya ingat daripada 2012 (mula ternak kambing) pasal memang cukup-cukup lama sudah.
"Sekarang memang jual untuk sara hidup untuk keluarga, anak anak ada sekolah lagi," katanya.
Mengulas lanjut, keunikan tindakan membawa kambing di dalam van miliknya sedikit pun tidak menjejaskan hubungan keluarga memandangkan isteri dan enam lagi anak-anaknya amat memahami nalurinya yang mahu berbakti sebaik mungkin dan seronok dengan apa dilakukan setakat ini.
"Kalau soal anak memang ada satu yang kerja di hospital tu suruh saya rehat pasal mungkin kemampuan dia untuk bagi makan (nafkah).
"Memandangkan saya ni tidak mahu juga, pasal saya rasa saya punya diri masih sihat, lagipun kesihatan itu saya pentingkan jadi saya berjalan begini untuk kesihatan juga," katanya.
#Aidiladha #kambing #kesihatan #KKIA #Lapangan Terbang Kota Kinabalu #Md Amin Rahim #media sosial #perayaan #Petagas #Putatan #video
;