Kambing ketagih kopi
Salim Aziz
Januari 9, 2018 13:33 MYT
Januari 9, 2018 13:33 MYT
Bergelora setiap kali bau aroma air kopi.
Bukan manusia tetapi kambing berusia setahun yang diberi nama "Botoi" boleh menghabiskan tiga jag air kopi setiap hari.
Kadang-kadang, bila tiga jag tidak cukup, Botoi akan 'merengek' minta lagi.
Bukannya fiksyen, tetapi itu memang perangai seekor kambing yang dipelihara oleh Nor Azura Abdul Mutalib, 44 tahun, dari Kampung Pechah Gadong di Pokok Sena, Kedah.
Nor Azura berkata, jika Botoi ‘merajuk’ gara-gara tidak puas minum kopi, dia akan memujuk kambing itu dengan memberi makan jajan.
"Kambing ni bergelora lah, dia ketagih kopi. Kalau dia nampak kita datang pegang cawan, dia teruja.
"Saya bagi dia makan dari botol dari kecil lagi, sejak ibu dia tiada. Bila dah hilang botol, bagi dia makan kopi. Jadi sampai sekarang dia ketagih kopi," katanya.
Sungguhpun berperangai manja, Botoi dikatakan suka bermain di dalam lumpur bersama kerbau yang dipelihara jirannya.
Botoi antara 4 ekor kambing yang dipelihara Nor Azura selepas lima ekor kambing dewasanya, termasuk ibu botoi, dikebas orang.
Nor Azura yang mula membela kambing sejak 10 tahun lalu tidak terasa aneh langsung dengan perangai Botoi, malah hanya terhibur.