Kamal Adli selamat jalani pembedahan selepas diserang di Singapura
Bernama
Mac 13, 2023 12:34 MYT
Mac 13, 2023 12:34 MYT
SINGAPURA: Selebriti Malaysia Kamal Adli yang cedera apabila diserang oleh seorang lelaki di Singapura lewat malam hari Ahad (Mac 12) selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.
"Alhamdulillah Kamal dah sedar...harap semua doakan keselamatan kami," isterinya Uqasha Senrose memaklumkan menerusi akaun Instagram (IG) hari ini.
Dalam kemaskini IGnya lewat malam tadi, Uqasha memaklumkan Kamal, 37, diserang menggunakan cota berkali-kali oleh seorang lelaki di kepala, muka dan badan.
Tanpa mendedahkan hospital Kamal ditempatkan, Uqasha berkata Kamal menjalani "major operation" berikutan kecederaan di bahagian kepala yang agak teruk.
Beliau dan suami menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan turut memohon peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan suaminya.
Mereka berdua berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023 selama tiga hari bermula Jumaat yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.
Menurut Uqasha, kejadian berlaku di akhir acara itu berlangsung.
Uqasha turut sertakan gambar-gambar sekitar kejadian yang menimpa suaminya dan memaklumkan penjenayah tersebut telah ditahan.
Memetik jurucakap polis Singapura, media tempatan melaporkan pihak polis menerima panggilan tentang satu pertelingkahan yang berlaku di Singapore Expo.
"Seorang lelaki 37 tahun masih sedarkan diri apabila dibawa ke hospital. Seorang lelaki 34 tahun selanjutnya diberkas berhubung dengan kes itu. Siasatan masih dijalankan," polis dilaporkan berkata.
Dianjurkan Megaxpress International, Hari Raya Mega Sale turut menampilkan beberapa artis dari Malaysia.
Pasangan popular Kamal dan Uqasha antara selebriti Malaysia yang sentiasa mengikuti acara sebegini di Singapura.
-- BERNAMA