Kalimah Allah: Takiyuddin dakwa AG kata penjelasan PM satu 'jawapan politik'

Hasimi Muhamad
Mei 23, 2023 14:52 MYT
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional berkata, adalah 'tidak munasabah' untuk seseorang peguam yang telah mencadangkan agar memfail rayuan terhadap sesuatu kes, untuk menarik semula keputusan tersebut - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah 'Allah' disifatkan sebagai "jawapan politik".
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa kenyataan itu dibuat oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun secara peribadi kepadanya sebaik sahaja Perdana Menteri selesai menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.
"Kita tak dengar kenyataan daripada Peguam Negara lagi, itu kita serah kepada Peguam Negara menjawab perkara ini. (Tetapi) Saya kebetulan tadi keluar dari dewan, saya berjumpa dengan Peguam Negara. Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya dan saya tanya, "Macam mana Tan Sri?" (penjelasan berhubung penarikan rayuan).
"Dia (Idrus) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara. Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi.
"Dia (Idrus) kata datang dengar jawapan politik," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah 'Allah' adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja, dan Peguam Negara membuat keputusan sama kerana ia tidak bercanggah dengan Majlis Raja-Raja.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, adalah 'tidak munasabah' untuk seseorang peguam yang telah mencadangkan agar memfailkan rayuan terhadap sesuatu kes, untuk menarik semula keputusan tersebut.
"Satu aspek yang kami persoalkan ialah ini nasihat daripada Peguam Megara. Siapa Peguam Negara pada masa kes ini difailkan rayuan? Dia adalah Peguam Negara yang sama yang ada pada hari ini (Idris).
"Logik atau tidak orang yang sama, yang dulu nasihatkan kerajaan masukkan rayuan, sekarang ini nasihat kerajaan untuk tarik balik rayuan. Munasabah tak?," soal Takiyuddin.
Sementara itu kata Takiyuddin lagi , blok pembangkang turut mempersoalkan adakah keputusan kerajaan untuk menarik rayuan berhubung kes tersebut dirujuk kepada Yang Dipertuan Agong, sebelum atau selepas keputusan dibuat.
"Kedua, apabila kita tanya pula pendirian kerajaan dan Perdana Menteri, atas asas apa dia tarik balik kes ini, sedangkan satu-satu keputusan mahkamah, kita sebagai kerajaan memerlukan keputusan di mahkamah yang tertinggi.
"Ini kes mahkamah tinggi, sepatutnya dengar dulu Mahkamah Rayuan yang mempunyai minimum tiga orang hakim. Kemudian, tak puas hati (bawa kes) ke Mahkamah Persekutuan. Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah sebegitu," soal beliau lagi.
Justeru, Takiyuddin menegaskan kerajaan sepatutnya membiarkan mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan dalam kes penggunaan kalimah 'Allah'.
"Biarlah undang-undang mengambil tempatnya dan biar mahkamah buat keputusan. Kerajaan tak boleh campur.
"Kalau kerajaan sebagai badan eksekutif campur tangan dalam kehakiman, ini lah yang menjadi masalah," dakwanya.
#Anwar Ibrahim #isu kalimah Allah #Penarikan rayuan kalimah Allah #Takiyuddin Hassan
;