Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi hantaran di media sosial berkata, kawasan itu dinaiki air mendadak sekitar jam 4.40 petang pada Ahad.
"Pertama kali dalam sejarah sejak 40 tahun berlaku banjir di Felda Kerteh 1, 4 dan Ketengah Jaya. Semoga Allah permudahkan urusan yang ditimpa musibah. Updated (kemas kini) jam 4.40 petang tadi (Ahad)," tulisnya.
Dalam pada itu, Satiful turut memuat naik hantaran memberitahu air mulai surut di Felda Kerteh 1 sekitar jam 7 malam pada Ahad.
Sementara itu, rata-rata penduduk mendakwa kejadian yang berlaku di Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 40 tahun kawasan Felda itu mula dibuka.
Salah seorang penduduk, Mohd Shukor Razak, 34, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat fenomena kepala air berpunca daripada limpahan air Sungai Hulu Paka.
"Sebelum kejadian, hujan lebat berlaku dan dalam sekelip mata tiba-tiba limpahan air yang deras memenuhi kawasan Felda ini menyebabkan kami semua panik.
"Kami hanya fikir nak selamatkan nyawa anak-anak kecil dan warga emas. Kami tak pernah berdepan situasi seburuk ini. Mungkin kepala air yang turun sebab dalam masa kurang 15 minit, hampir semua kawasan rendah ditenggelami air," katanya.
Menurutnya, banyak rumah dan kenderaan penduduk ditenggelami air termasuk bangunan kerajaan seperti tadika dan Pejabat Felda.
Sementara itu, Rosmah Musa, 38, berkata, air naik mendadak ketika dia berada di dapur rumahnya.
"Saya terperanjat bila anak saya menjerit memberitahu kawasan luar rumah tiba-tiba dipenuhi air.
"Waktu tu tak sempat buat apa-apa. Memang panik dan takut. Sekelip mata kawasan dapur rumah dimasuki air. Kami tak tunggu lama. Saya dan anak redah air banjir untuk selamatkan diri dengan sehelai sepinggang.
"Tak sangka pula hujan kali ini menyebabkan banjir. Selama hampir 40 tahun saya tinggal di sini, tempat ni tak pernah banjir sebelum ini," katanya.
Setakat ini, seramai 235 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Felda Kerteh 4.