Kali pertama dalam sejarah Malaysia keliling dunia Arab, suara pendirian isu Palestin

Hasimi Muhamad
Oktober 24, 2023 22:57 MYT
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu diambil selepas melihat semangat dan denyut nadi rakyat negara ini terhadap nasib yang menimpa Palestin. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata buat pertama kali dalam sejarah negara, Malaysia mengambil keputusan untuk mengelilingi negara Arab demi menyatakan pendirian susulan kekejaman Israel terhadap Palestin.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu diambil selepas melihat semangat dan denyut nadi rakyat negara ini terhadap nasib yang menimpa Palestin.
Jelas Anwar, dalam tempoh beberapa hari lalu, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam termasuk Arab Saudi, Riyadh, Bahrain serta Turki.
“Saudara, dalam sejarah Malaysia selalunya kita hanya membuat kenyataan dari jauh.
“Ini kali pertama, melihat kepada semangat dan denyut nadi rakyat Malaysia, saya ambil keputusan untuk keliling dunia Arab menyatakan pendirian kita.
“Saya bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, baginda undang saya dalam lawatan sehari dan kami adakan perbincangan hati ke hati, dan tajuk utama adalah Gaza.
“Saya beritahu Arab Saudi harus ke depan dan kami beri sokongan padu supaya suarakan hak rakyat Palestin dan hak kemanusiaan Gaza,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata di sini pada Selasa malam.
Berucap lanjut, Anwar berkata perkara sama dizahirkan kepada Riyadh agar dunia Islam tidak dilihat lesu sebaliknya bangkit mempertahankan Palestin.
Dari Riyadh, Perdana Menteri berkata beliau berlepas ke Istanbul, Turki untuk membincangkan langkah yang harus diambil secara bersama, selain tindakan untuk berdepan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana ketidakpedulian negara itu berhubung soal kemanusiaan.
“Dari Istanbul, saya terus ke Kaherah jumpa presiden Mesir. Kerana presidennya, Mesir mempunyai peranan yang penting kerana sempadan Rafah di antara Mesir dan Israel
“Bincang hati ke hati dengan presiden Mesir, dia kata kalau 200 kontena dibawa masuk ke Gaza, dia izinkan sekarang juga,” tambah Anwar.
Dalam masa yang sama, Anwar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kerana memainkan peranan yang sangat signifikan sehingga Malaysia diberikan penghormatan yang sangat tinggi dalam isu Palestin oleh negara Arab Saudi.
#Anwar Ibrahim #negara arab #Palestin #Gaza #kekejaman israel
;