"Kalau tiada topeng muka, tiada gejala memadai jaga jarak sosial"- KP Kesihatan
Astro Awani
Mac 24, 2020 18:34 MYT
Mac 24, 2020 18:34 MYT
Mana-mana individu tiada dalam kategori tertentu dan tiada topeng muka, memadai mengambil langkah menjaga jarak sosial.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham berkata, kategori yang perlu pakai topeng muka termasuk mereka yang mempunyai gejala, pekerja perubatan dan mereka yang berhadapan dengan orang ramai.
"Mereka yang ada gejala, pakai topeng muka. Kalau tiada, healthcare workers (petugas kesihatan) atau yang bekerja berdepan orang atau pesakit, kita galakkan pakai topeng muka. Mungkin kita jumpa ramai pelanggan kena pakai.
"Namun, kalau tiada dalam kumpulan tersebut, maka tak perlu pakai topeng muka, memadai jika kita menjaga penjarakan sosial," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Pada masa sama, topeng muka yang sudah digunakan hendaklah dibuang dan memastikan setiap orang mencuci tangan.
"Kalau pakai topeng muka selama 8 jam, kita perlu buka dan buang ke dalam tong sampah dan cuci tangan. Cuci tangan perlu pakai sabun dan mencucinya sekurang-kurangnya 20 saat," jelasnya lagi.