Kalau tak bertanding pun, menang BN menanglah saya - Shahrizat
Firdaus Azil
Mac 24, 2018 19:10 MYT
Mac 24, 2018 19:10 MYT
“Menang Barisan Nasional (BN), menanglah saya,” kata Ketua Wanita BN Tan Sri Shahrizat Jalil ketika ditanya kerusi Parlimen manakah agaknya yang bakal beliau tandingi.
Soal sama ada beliau bertanding atau tidak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, katanya, adalah terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN.
“Sebab, saya adalah salah seorang pemimpin yang ada dalam UMNO dan Barisan Nasional. Sama ada saya bertanding atau tidak, saya pulangkan kepada PM.
"Yang mustahak pada saya selaku pemimpin bertanggungjawab, saya mesti jalankan tugas selaku Ketua Wanita UMNO dan BN.
“Kalau menang BN nanti, itu juga kemenangan kepada saya, sama ada bertanding atau tidak,” katanya kepada pemberita sewaktu Majlis Pelancaran Jentera Wanita BN Parlimen Kepong, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kesediaan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk mengetuai jentera bagi memenangkan Shahrizat seandainya tercalon bertanding di Parlimen kawasan itu.
Namun, Shahrizat, yang juga bekas ahli Parlimen Lembah Pantai dari 1995, sebelum tewas mengejut kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum 2008, menolak sebarang kemungkinan beliau akan bertanding di situ.
Mengenai Parlimen Kepong, yang kini disandang Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, Shahrizat membayangkan ada angin perubahan yang mampu memberi kesan positif sewaktu PRU14.
“Jentera wanita BN menghargai dan menjaga setiap pengundi untuk PRU14 nanti. Di Kepong kita jaga pengundi kita dengan baik, dengan harapan.
"Menang (atau) kalah, kita tunggu keputusan. Tetapi, setiap pengundi yang ada di kawasan seperti Kepong, Cheras, Bukit Bintang, Seputeh, setidak-tidaknya akan membawa undi popular untuk BN,” katanya.
Di kawasan itu, tambahnya, perjuangan BN membuahkan hasil kerana pembangunan sudah mula dirasai, di mana tumbuhnya pusat-pusat perniagaan dan bangunan pencakar langit seperti kediaman dan pejabat.
“Saya percaya angin perubahan akan melanda Kepong. Angin perubahan yang mana ada peluang utk BN kali ini menang di kawasan ini,” katanya lagi.
Pada PRU yang lepas, Dr Tan, berjaya mempertahankan kawasan itu dengan majoriti 40,307 yang mana ia turut mencatatkan peratusan keluar mengundi setinggi 86 peratus (58,512 pengundi).
#Barisan Nasional
#Nurul Izzah Anwar
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#PKR
#Shahrizat Jalil
#UMNO
#Wanita UMNO