Kalau tak ada angin...

Wan Syamsul Amly
Mac 22, 2013 21:47 MYT
Menghabiskan Khamis malam Jumaat dengan bersembang bersama kawan-kawan media yang bertugas di sini memang sesuatu yang menyeronokkan.
Pelbagai cerita timbul terutama daripada kawan-kawan yang sudah hampir sebulan berada di kawasan krisis pencerobohan ini.
Selain berbincang isu pencerobohan pelbagai versi, cerita kerinduan kepada keluarga di Semenanjung dan akses internet yang terhad, tidak kurang juga kisah kecantikan gadis di Felda Sahabat sebagai selingan.
Sambil menikmati tongkeng dan pedal ayam bakar -- antara hidangan popular di Dataran -- nama sebuah kawasan lapang yang dijadikan medan selera dan kini tumpuan 'tetamu' di Felda Sahabat, kami dikejutkan khabar ada penceroboh dikepung di penempatan Kembara Sakti.
Demi keselamatan petugas media selepas mendengar pengakuan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan membuat sidang media pada Jumaat untuk penjelasan insiden berkenaan, kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah inap dan berehat.
Jumaat, berbual bersama anggota keselamatan yang mengawal kawasan pesisir pantai Felda Sahabat merupakan tindakan paling tepat..
Sambil menghirup udara segar, sempat saya mengorek sedikit sebanyak cerita "off record" dan mengetahui aktiviti harian mereka selain tugas hakiki melindungi negara
Selepas bersarapan dan membaca berita 'online' yang menjadi rutin selama ini, sempat saya membaca laporan insiden malam semalam yang banyak memetik sumber sementara menanti sidang media harian di pusat media.
Sidang media pada Jumaat diberikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang.
Seperti dijangka, Tan dihujani pertanyaan mengenai insiden kepungan yang dikatakan berlaku, namun dengan nada tegas dia menafikan serangan pada malam sebelumnya dan meminta masyarakat agar tidak mudah percaya kepada khabar angin. Tiada soalan tambahan. Noktah.
Pada sebelah petang, saya dibawa ke Kampung Tambisan, kawasan sebelah 'Red Zone' untuk reaksi penduduk.
Kawasan ini terkenal sebagai syurga bagi pemancing di sini.
Bagaimana tidak, ikan kerapu, putih, pari, merah seberat minimum 5 kilogram pasti menjadi habuan jika bernasib baik.
Bertemu sendiri beberapa penduduk di Tambisan, mendengar leganya hati mereka kepada jaminan keamanan anggota keselamatan yang mengawal kampung.
"Semuanya OK, endada apa-apa, pulis dengan askar banyak suda, jadi kami enda takut suda," kata penduduk itu dalam loghat Sabah.
Dan hari ini, kami dijanjikan pula ke Kampung Tanduo, kawasan 'Red Zone' sekaligus signal Ops Daulat mungkin sampai ke penghujungnya.
Namun pelbagai khabar angin masih kuat berlegar terhadap situasi sebenar di sini.
Ada yang sama seperti Tan dan tidak kurang juga yang berlawanan.
Jauh di dalam hati, saya berharap khabar negatif hanya permainan individu nakal yang sengaja mahu menghuru-harakan keadaan.
Kembali kepada permulaan cerita semasa makan malam kelmarin tentang pelbagai versi isu pencerobohan di sini.
Tiba-tiba terfikir, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.
Tak begitu Datuk?
#felda sahabat #Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu #wan syamsul amly
;