Kalau sayangkan keluarga, tak payahlah balik kampung sambut Gawai
Bernama
Mei 29, 2021 08:57 MYT
Mei 29, 2021 08:57 MYT
KUCHING: Untuk tahun kedua berturut-turut, Timothy Upai Lindris terpaksa melupakan hasratnya balik ke Limbang untuk meraikan perayaan Gawai 1 Jun ini, sambutan tradisional masyarakat Dayak di Sarawak bagi menandakan berakhirnya musim menuai.
Bukanlah kerana tidak mendapat cuti atau kekangan tugas, jejaka berusia 31 tahun yang mencari rezeki dengan bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur ini bimbang dengan keadaan pandemik COVID-19 yang dihadapi sekarang.
"Jika kita sayangkan keluarga kita, kenapa kita perlu merisikokan diri dan keluarga semata-mata untuk berkumpul sehari dua. Biarlah kita berkorban buat sementara ini dan menahan rasa sebak tidak dapat berjumpa selama dua tahun berturut-turut," katanya ketika dihubungi Bernama.
Tidak dapat dinafikan luahan rasa Timothy turut dialami ahli masyarakat Dayak lain yang akur dengan arahan mengelakkan perhimpunan sosial semasa perayaan ini bagi mengekang penularan COVID-19 yang kesnya sudah meningkat lebih 40 kali ganda di Sarawak sekarang.
Sarawak mengakhiri 2020 dengan mencatatkan jumlah keseluruhan 1,117 kes antara bulan Mac hingga Disember tahun itu sehinggakan mendapat pujian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai negeri terbaik mengawal penularan penyakit itu.
Bagaimanapun, keadaan berbeza berlaku tahun ini apabila kes positif baharu COVID-19 yang dilaporkan setiap hari mulai bertambah daripada satu digit menjadi tiga digit dalam tempoh lima bulan sahaja dan menjelang 27 Mei, angka keseluruhan kes mencecah 44,738.
Hanya 22 kematian dilaporkan pada Mac hingga Disember tahun lepas, namun antara 1 Jan hingga 26 Mei tahun ini sahaja, 263 kematian kerana COVID-19 di Sarawak telah dicatatkan dan angka ini memang membimbangkan.
Purata angka korban harian akibat COVID-19 meningkat mendadak tiga kali ganda dalam tempoh tiga bulan dengan tiga kes kematian dilaporkan sehari pada Mei berbanding sepanjang Mac lepas, menurut Pemangku Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Rosemawati Ariffin baru-baru ini.
Katanya, peningkatan kes harian COVID-19 yang ketara juga telah dikesan selepas sambutan Aidilfitri antara 9 hingga 15 Mei dengan 3,272 kes dilaporkan dan purata 596 kes sehari berlaku antara 16 hingga 22 Mei.
"Kapasiti katil (unit rawatan rapi) ICU di Sarawak kini mencapai paras kritikal apabila 83 kes COVID-19 masih di wad ICU termasuk 32 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.
Hakikat ini disedari Julie Nedi, 35, berbangsa Bidayuh yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di bandar raya Kuching yang mengambil keputusan untuk kekal di kediamannya bersama suami dan tiga anaknya sepanjang perayaan Gawai ini.
Walaupun kampungnya di daerah Pedawan tidaklah begitu jauh dari bandar raya ini, namun beliau dan keluarga tidak akan balik kerana sedar itulah antara cara untuk mengelakkan wabak COVID-19 ini daripada terus menular.
"Tidak mengapalah tiada sambutan dan tidak berkumpul dengan keluarga, semua adik-beradik kami juga memberikan kerjasama kerana bimbang dengan keadaan ibu bapa yang sudah tua. Bagi kami, kesihatan mereka lebih penting," katanya.
Ritchie Lantan, 58, ketua rumah panjang Iban di Kampung Tegelam di daerah Simunjan pula sudah bertegas melarang anak buahnya yang bekerja di bandar untuk balik semasa perayaan ini bagi membendung penularan ini.
"Jangan sesekali kita lalai, lihat apa yang sudah terjadi dengan Sarawak, sebelum ini dipuji kerana mampu menangani jangkitan tempatan, pernah berjaya tidak merekodkan sebarang kes positif baharu untuk beberapa lama, tetapi sekarang apa sudah jadi?" katanya.
-- BERNAMA