'Kalau PM pun bayar cukai, rakyat lain jangan culas' - Anwar

Ridauddin Daud
Januari 23, 2024 13:35 MYT
Anwar menegaskan beliau sendiri membayar cukai dan memberi contoh cukai minyak zaitun berjumlah RM500 yang dikenakan JKDM kepadanya sebelum ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak culas membayar cukai kerana beliau sendiri tidak terlepas daripada membuat bayaran itu kepada kerajaan.
Ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 di sini hari ini, beliau mengambil contoh cukai minyak zaitun berjumlah RM500 yang dikenakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kepadanya.
Menurutnya, minyak itu dihadiahkan rakannya dari negara Arab sejak beberapa tahun lepas, tidak pernah dikenakan cukai sebelum ini ketika beliau masih Ketua Pembangkang.
“Bila saya jadi Perdana Menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai…RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.
“Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain jangan culas.
“Itu bezanya…ada yang rasa bila jadi Perdana Menteri, sudah hebat… beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai.
“Saya, minyak zaitun untuk makan sendiri dan keluarga pun dikenakan cukai tapi saya tetap bayar. Saya bayar kerana ingin menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” katanya.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #bayar cukai #LHDN
;