Kalau nak jadi PM, KJ perlu ikut keberanian Anwar ‘lawan’ AS - Zaid

Khalis Khadir
September 11, 2024 17:52 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaluddin. - Foto/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin perlu menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai teladan jika beliau mahu menjadi perdana menteri.
Nasihat itu diberikan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Mohd Zaid Ibrahim apabila melihat tindakan Khairy yang terlalu berhati-hati hanya merencatkan peluangnya untuk menyerlah dan menjawat jawatan itu.
“Khairy ini ada imej yang sesuai, dia sangat popular terutama dalam pengundi wanita. Malah dia boleh mencabar pemimpin tertinggi dalam UMNO, dia hanya perlu kurang dikekang oleh analisis kos faedah dan ambil risiko tinggi untuk habuan jangka panjang,” katanya dalam hantaran di X pada Rabu.
Zaid berpandangan, sikap waspada Khairy itu dibuktikan apabila beliau menyatakan kebimbangan bahawa tindakan Anwar mengukuhkan hubungan dengan Rusia melalui permohonan menyertai BRICS boleh ‘mengecewakan’ Amerika Syarikat (AS).
Sedangkan Zaid melihat langkah Anwar itu adalah strategi bijak yang menonjolkan aspirasi Anwar untuk menjadi pemimpin Islam global, bukan sekadar pemimpin utama di Malaysia semata-mata.
Khairy dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap memberi justifikasi bahawa jumlah perdagangan antara Malaysia dan Rusia sekitar RM14 bilion dilihat agak kecil jika ingin dibandingkan hubungan Malaysia-China yang jauh lebih besar, sekali gus terkait pertaruhan hubungan dengan AS.

KJ and Anwar Anwar's decision to be close to Russia and be a member of the BRICS grouping is the right strategic move. But KJ did not think so. He was concerned that the move might offend America. After all, the trade with Russia is only 14 billion or so, minuscule compared to

— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) September 11, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Zaid mendakwa ulasan Khairy kurang tepat kerana Anwar kini berdepan cabaran dari AS, sama seperti kebanyakan pemimpin Islam yang lain dan atas faktor itu Anwar perlu menjalin hubungan dengan China dan Rusia.
Dakwanya: “Anwar tahu begitu mudah caranya untuk menyinggung AS. Saddam, Ghadafi hanya cuba menjual minyak Libya dalam dinar dan bukan dolar, natijahnya anda boleh lihat apa AS buat terhadap Ghadafi.
“Saddam tiada senjata untuk musnahkan AS atau Israel tapi mereka bunuh beliau dan dua juta rakyat Iraq. Sama macam kes Imran Khan bertemu Putin walaupun Washington sudah beritahu untuk tidak teruskan, dua minggu kemudian Imran digulingkan dan kini meringkuk di penjara.
“Jadi, Anwar memang sedar dia terdedah kepada risiko AS sebab itu dia perlu ada insurans tambahan dengan mempunyai rakan kuasa besar di China dan Rusia jika ingin penuhi cita-citanya menjadi pemimpin Islam terkemuka.
"Rusia mungkin tidak tawarkan kelebihan besar dalam perdagangan buat masa ini tapi menjadi rakan Putin pastinya banyak membantu,” dakwanya.
Dalam lawatan Anwar ke Vladivostok baru-baru ini, beliau menerima jemputan Putin untuk menghadiri sidang kemuncak BRICS akan datang yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober di Kazan, Rusia.
#Anwar Ibrahim #Khairy Jamaluddin #Zaid Ibrahim #Amerika Syarikat
;