'Kalau kita tak ambil vaksin, negara lain akan ambil' - PFM
Madiha Abdullah
Februari 22, 2021 15:07 MYT
Februari 22, 2021 15:07 MYT
KUALA LUMPUR: Vaksin merupakan perkara paling penting untuk penduduk dunia buat masa ini, ketika pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan tanda akan reda.
Justeru, memiliki bekalan vaksin COVID-19 merupakan satu kelebihan yang perlu disyukuri dan tidak boleh dipandang remeh.
Itu pandangan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang, yang mahu rakyat Malaysia melakukan imunisasi apabila mendapat peluang itu tidak lama lagi.
"Rakyat perlu mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin. Vaksin adalah perkara paling berharga sekarang. Kalau kita tidak ambil, negara lain akan ambil peluang untuk dapatkan vaksin.
"Di sini juga cabaran untuk kerajaan, bagaimana mahu memastikan ada sistem yang terperinci dan sistematik untuk mengelakkan pembaziran. Apabila rakyat sudah buat temujanji selepas pendaftaran, bagaimana nak pastikan mereka datang pada masa temujanji itu," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam Buletin AWANI, hari ini.
Amrahi juga berpendapat kerajaan sudah cukup bersedia untuk melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan ini, terutama apabila mereka mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikhnya.
Selain cabaran penyimpanan pada suhu yang ditetapkan, cabaran paling besar ketika ini tentu sekali dalam memastikan sistem pengagihan yang efisien, terutama dalam aspek capaian dan akses vaksin bagi semua penduduk di Malaysia.
"Malaysia sudah ada program imunisasi sejak tahun 1950an lagi, jadi saya fikir ia sedikit sebanyak sudah mempersiapkan kerajaan dan pihak yang terlibat.
"Bezanya situasi sekarang ini sangat besar dan belum pernah berlaku, jadi tentulah ada cabaran yang menanti.
"Kita sedang menunggu juga pelan yang lebih teliti berkaitan aspek logistik, contohnya bagaimana nak pastikan vaksin dapat diakses oleh semua penduduk, baik di pedalaman, Sabah, Sarawak dan Orang Asli.
"Paling mencabar tentu sekali warga asing dan pendatang asing tanpa izin. Tetapi saya yakin dengan pengalaman yang kita ada sebelum ini, dan juga pengalaman negara-negara lain yang sudah melaksanakan program imunisasi ini, kita boleh melakukannya," katanya.
Malaysia pada Ahad menerima penghantaran pertama 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech.
Fasa pertama Progam Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan berjalan dari Februari ini hingga April tahun hadapan, melibatkan petugas barisan hadapan.
Ia akan mula diedarkan untuk suntikan pada 24 Feb ini.
#COVID-19
#vaksin
#pandemik
#Malaysia
#imunisasi
#kerajaan
#rakyat Malaysia
#warga asing
#Presiden Persatuan Farmasi Malaysia
#Amrahi Buang