Kalau kerajaan gagal urus ekonomi, MPN juga gagal, semua gagal, kata PM kepada Muhyiddin

Firdaus Azil
September 19, 2022 17:02 MYT
Ismail Sabri berkata, jika mahu disifatkan kerajaan gagal mengurus ekonomi, ia adalah kegagalan bersama termasuk Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dakwaan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan gagal mengurus ekonomi, sedikit sebanyak terpalit kepada anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, dari segi pengurusan ekonomi, terdapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN sendiri.
Malah, kata Perdana Menteri lagi, Muhyiddin juga bertanggungjawab mempengerusikan MPN yang antara lain mempunyai peranan untuk memulihkan ekonomi negara pascapandemik COVID-19.
"Dari segi ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed ada mengurus ekonomi, dan kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin sendiri.
"MPN pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal. Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Negara juga gagal,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas selesai merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (2022-2040) di Putrajaya, pada Isnin.
PRU15 | Elok Ismail Sabri bubar Parlimen – Muhyiddin
BACA: Elok juga PRU15 diadakan, ekonomi negara gagal diurus - Muhyiddin
Awal hari ini, Muhyiddin, yang merupakan Perdana Menteri sebelum Ismail Sabri, menganggap ada keperluan untuk Parlimen dibubarkan secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.
Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, apa yang dilihat beliau ialah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.
“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.
“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” tegas Muhyiddin.
#ekonomi malaysia #Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #kerajaan gagal urus ekonomi
;