Kalau ikut cara BN, harga RON95 dah turun 20 sen - Rafizi
Firdaus Azil
Disember 23, 2018 17:15 MYT
Disember 23, 2018 17:15 MYT
Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menggesa agar Putrajaya kembali menyemak harga minyak mengikut formula pengiraan secara mingguan, seperti yang diamalkan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Dalam satu posting di laman Facebooknya, pengasas firma analitik data Invoke Malaysia itu berkata, kaedah pengiraan bulanan yang diamalkan sekarang sesuai dalam beberapa bulan yang lalu iaitu ketika harga minyak mentah dunia naik melonjak.
“Kaedah (pengiraan bulanan) ini sesuai dalam beberapa bulan yang lalu iaitu ketika harga minyak mentah dunia naik melonjak. Dalam keadaan harga mentah dunia tinggi, Kerajaan Persekutuan menyediakan subsidi untuk mengekalkan harga pada kadar RM2.20 seliter bagi RON95.
“Selagi harga minyak mentah dunia kekal tinggi, maka pengiraan formula hanyalah untuk menentukan berapa subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan kerana harga yang dibayar oleh rakyat adalah lebih rendah dari harga formula,” katanya lagi.
Bagaimanapun, jelasnya lagi, sejak beberapa minggu yang lalu, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak, terutamanya minggu ini.
“Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Malah, rakyat tidak tahu pun bahawa Kerajaan Persekutuan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan (atas sebab-sebab yang saya sebut di atas),” katanya.
BACA JUGA: Pesanan Rafizi Ramli kepada PH
Dalam catatan itu, Rafizi turut berkongsi data harga minyak sekiranya mengikut formula pengiraan mingguan, yang mana jelasnya lagi, dapat memastikan harga RON95 akan mengalami penurunan 20 sen untuk beberapa minggu akan datang.
Rafizi berkata beliau akan terus konsisten menyuarakan pandangan bahawa kaedah terbaik dan yang paling adil untuk mengelakkan rakyat dari membayar harga minyak yang lebih tinggi dari harga pasaran.
Katanya lagi, Kerajaan perlu memastikan ada subsidi untuk melindungi rakyat dari harga minyak mentah dunia yang naik melambung, iaitu dengan menetapkan harga siling.
"Apa-apa harga formula yang lebih tinggi dari harga siling, Kerajaan Persekutuan perlu membayar subsidi untuk mengekalkan harga pada harga siling.
"Kerajaan juga perlu menyemak harga mengikut formula secara mingguan untuk memastikan jika ada kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia, rakyat akan menikmati penjimatan serta-merta," katanya lagi.
#Barisan Nasional
#harga minyak
#Invoke
#kerajaan
#Najib Razak
#PKR
#presiden
#Putrajaya
#Rafizi Ramli
#RON95
#subsidi