'Kalau hujan lebat, angin kuat, kami tak boleh tidur malam'

Abd Razak Mohd Ali
Disember 28, 2021 13:33 MYT
Pasangan suami isteri ini menumpang di rumah yang uzur ini sejak empat tahun lalu. - Foto Astro AWANI
TAIPING: Kesempitan hidup memaksa sepasang suami isteri menumpang berteduh di sebuah rumah usang di Kampung Baru Jalan Tokong India, Kamunting dekat sini, yang hanya menunggu masa rebah ke bumi.
Nasib mereka umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila si suami terpaksa berhenti mencari nafkah demi menjaga isterinya yang lumpuh selepas terjatuh di dalam bilik air, kira-kira empat bulan lalu.
Keadaan rumah mereka sangat menyedihkan, dengan atap berlubang di sana-sini dan strukturnya umpama reban yang boleh runtuh pada bila-bila masa.
Aida Ahmad, 33 tahun, berkata, dia dan suami, Marzuki Abdul Manaf, 57 tahun, menumpang di rumah milik rakan suaminya itu sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, mereka tidak mempunyai pilihan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain keadaan dirinya yang tidak boleh berjalan.
"Setiap kali hujan lebat dengan angin kuat, saya sangat risau kerana takut berlaku perkara tidak diingini. Kadang-kadang kami tidak tidur malam sebab terlampau bimbang.
"Rumah ini sangat uzur. Dinding dan atap pun reput akibat dimakan anai-anai. Kalau hujan, air masuk melalui atap zink yang bocor.
"Keadaan ini amat sukar bagi saya yang hanya mampu baring dan duduk sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Aida yang berasal dari Kuching, Sarawak, berkata, keadaan rumah itu yang uzur menyebabkan pemiliknya tidak lagi meminta sewa, namun dia dan suami perlu berpindah dan mencari kediaman lain yang lebih selesa.
Aida: Kalau hujan, bocor sana-sini, memang kami tak boleh tidur
"Tuan rumah ada hubungi dan beritahu mahu roboh rumah ini. Oleh kerana tiada rumah untuk duduk, suami merayu minta tolong dan mereka beri masa tiga bulan untuk cari rumah lain.
"Mahu cari rumah sewa bukan senang. Kalau ada pun, sewanya RM600 ke RM700 sebulan. Kami memang tidak mampu. Saya dan suami buntu, tidak tahu mahu buat apa lagi," ujarnya.
Aida berkata, disebabkan kemiskinan, dia dan suami pernah terputus bekalan makanan hingga terpaksa mengikat perut dua atau tiga hari.
"Kadang-kadang keluarga ada berikan duit untuk belanja. Jika mereka kirim duit, dapatlah kami beli makanan. Mahu kerap minta tolong pun, mereka juga perlu gunakan duit untuk belanja sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, mereka sangat berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu terutamanya membekalkan makanan.
“Semasa sihat dan boleh berjalan, saya ada berniaga kecil-kecilan dengan menjual laksa Sarawak dan kek lapis, tetapi sejak jatuh dan susah bergerak, mandi pun suami uruskan," katanya.
Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank atas nama Aida Binti Ahmad, 161190134342 atau menghubunginya di talian 017-8571061.
Sementara itu, nasib pasangan suami isteri tersebut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM) yang tampil membantu mendapatkan rumah baharu serta keperluan lain untuk mereka.
Wakilnya, Md Zukry Ahmad memberitahu, pihaknya sedang menguruskan proses perpindahan mereka dengan bantuan beberapa pihak termasuk penghulu dan pegawai daerah.
#rumah usang #suami isteri tumpang berteduh #isteri lumpuh #suami isteri perlu bantuan
;