'Kalau hujan, angin kencang, saya akan berlari ke bawah rumah'

Amirrul Rabbani
Julai 8, 2022 10:50 MYT
Mat Yusoff Shariff menunjukkan kawasan bawah rumah untuk mendapatkan perlindungan ketika hujan atau angin kencang melanda. - Astro AWANI
PASIR SALAK: “Jika cuaca hujan, atau angin kencang, saya akan berlari ke bawah rumah untuk mendapatkan perlindungan.” Itu luah Mat Yusoff Shariff, 71 yang tinggal di sebuah rumah kayu di Kampung Balun Bidai, Kampung Gajah, dekat sini sejak 30 tahun lalu.
Menurutnya dia yang hidup sebatang kara dan menumpang di rumah milik saudaranya itu sering ketakutan tatkala hujan atau angin kencang melanda syurga kecilnya itu.
“Rumah ini sudah lama. Atapnya bocor selain dinding dan lantai kayunya semakin reput. Ia makin teruk sejak enam bulan lalu.
“Tiada bilik di rumah ini, sebaliknya hanya ada ruang tamu dan dapur sahaja. Jadi, pada kebiasaan saya akan tidur di bahagian ruang tamu.
“Malangnya, apabila keadaan cuaca di luar hujan atau ada angin kencang, saya terpaksa pergi ke bawah rumah untuk mendapatkan perlindungan, disebabkan rumah ini semakin uzur.
“Selain tidak selesa kerana atap yang bocor, saya juga bimbang sekiranya ada pokok yang menimpa rumah dan mengancam keselamatan saya. Saya hanya akan naik semula ke atas apabila cuaca berkenaan reda.
“Saya memang nak baik pulih rumah ini, namun disebabkan kesempitan wang dan keadaan uzur, saya tidak mampu untuk lakukan itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Balun Bidai, Kampung Gajah, dekat sini pada Khamis.
Warga emas yang berasal dari Teluk Intan itu berkata, sebelum ini dia mengambil upah mengutip buah sawit relai di ladang kelapa sawit di sekitar rumahnya itu dengan bayaran RM20 setiap hari.
Namun, akibat tubuh yang semakin dimamah usia, Mat Yusoff berkata dia terpaksa berhenti sejak dua tahun lalu dan mula bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ujarnya lagi, adik lelaki yang berusia 60 tahun dan menetap di kawasan perumahan di Sungai Galah di sini juga sering membantunya untuk ke pekan Kampung Gajah sekiranya mempunyai urusan.
“Kebiasaanya saya akan berbasikal kalau hendak ke mana-mana yang berhampiran seperti makan dan minum di kedai kira-kira dalam lingkungan 5 kilometer dari rumah.
“Kalau hendak ke pekan Kampung Gajah yang jaraknya kira-kira 10 km, adik lelaki saya akan datang membantu membawa saya dengan menaiki kereta,” katanya.
Dalam pada itu, senyuman pada wajah Mat Yusoff boleh terukir tatkala nasibnya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah merangkap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Dr Wan Norashikin berkata menerusi Program Khidmat Bakti @ Komuniti, sebanyak RM20,000 diperuntukkan untuk membaik pulih rumah warga emas berkenaan membabitkan kerja-kerja mengganti dan membaik pulih keseluruhan atap, dinding dan lantai, tangga, serta mengecat.
“Rumah ini didapati uzur dan warga emas itu tinggal berseorangan. Selepas diadakan siasatan, dia memaklumkan bahawa dia tidak mahu berpindah ke kawasan lain.
“Jadi disebabkan itu kita bersama-sama JKM mengambil keputusan untuk membaik pulih rumah Mat Yusoff. Diharap dapat menambah keceriaan kepada beliau untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini,” katanya.
Rumah yang dibaik pulih secara bergotong-royong melibatkan lebih 30 individu daripada Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat, Sukarelawan JKM, Skuad Prihatin, RELA dan penduduk kampung itu dijangka siap untuk didiami pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mat Yusoff berkata, beliau gembira apabila rumahnya itu dibaik pulih dan dicat semula seolah-olah rumah baharu.
“Selepas ini saya tidak perlu duduk bawah rumah lagi kalau cuaca tak baik. Selain itu saudara-mara yang selalu datang melawat nanti pun lebih selesa,” ujar warga emas itu.
Terdahulu Dr Wan Norashikin menyampaikan sumbangan kepada 120 kanak-kanak dari golongan B40, asnaf dan anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah pada Program Seronok Beraya Aidiladha, di sini.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM360,000 untuk pemberian khas ini membabitkan seramai 2,400 penerima di seluruh Perak yang menerima baju raya dengan tudung, kerongsang atau sampin dan songkok serta kuih dan duit raya.
#hujan #angin kencang #warga emas #Mat Yusoff Shariff
;