"Kalau boleh elak dulu naik Cameron Highlands, sesak teruk," kata netizen
Astro Awani
November 10, 2021 16:49 MYT
November 10, 2021 16:49 MYT
SEJAK kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melarang rentas negeri, kawasan tumpuan pelancongan yang sebelum ini agak sunyi kembali dipenuhi pelancong.
Bukan kawasan pelancongan sahaja, kampung halaman juga menjadi tumpuan warga kota yang sudah lama tidak bertemu keluarga tersayang.
Lihat saja di media sosial, penuh gambar rakan-rakan pulang ke kampung, bercuti di pantai, di tanah tinggi dan di pelbagai lokasi - semuanya melepaskan ‘rindu’ yang tersimpan di hati.
Bila sebut tanah tinggi, Cameron Highlands pastinya antara lokasi yang menjadi tumpuan namun ada beberapa cerita ‘tidak enak’ dikongsikan dalam laman sosial.
Di Twitter misalnya, ada pengguna, mendakwa dirinya pekerja kesihatan, memaklumkan ramai orang yang baru balik bercuti dari kawasan itu membawa kit ujian yang tertera keputusan positif.
“Bukan nak takutkan. Saya kerja kesihatan, start semalam ramai yg baru balik bercuti dari Cameron walk-in klinik bawa test kit yang positif.
“Ramai juga yang bergejala balik dari Cameron. Crowded sangat sana. Kalau boleh elak, elaklah dulu kot naik sana,” tulis Eniii (@eniAngktJemuran).
Dia meninggalkan komen tersebut terhadap ciapan selebriti dan Usahawan Digital Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali dengan nama Khairul Aming.
Dalam ciapan tersebut, Khairul Aming bertanya adakah Cameron Highlands hanya ramai pada hujung minggu atau hari biasa juga sdemikian.
Berdasarkan komen balas daripada ciapan tersebut, ramai pengguna menyatakan bahawa lokasi itu kini menjadi tumpuan ramai, sesak walaupun bukan pada hujung minggu.
Bahkan, ada juga yang mencadangkan sekiranya mahu ke lokasi peranginan itu, sebaiknya pergi pada tahun hadapan untuk elak kesesakan.
Sementara itu, pada 30 Oktober lalu, pengendali akaun Twitter CutiBajet.co juga sempat berkongsikan keadaan kenderaan yang bertali arus di lokasi percutian popular itu.