Kalau boleh biarlah jenazah 'Adik' dikebumikan di tempat dia dibesarkan - Bapa angkat

Shuhada Abdul Kadir
Januari 31, 2021 16:47 MYT
Dia mengharapkan Allah melembutkan hati keluarga Adik dan sempat meluahkan rasa syukur kerana urusannya sekeluarga sepanjang berada di Melaka, dipermudahkan. - Foto Astro AWANI
MELAKA TENGAH: “Kalau boleh biarlah jenazah ‘Adik’ dikebumikan di tempat dia dibesarkan di rumah kami, namun jika takdir Allah sebaliknya, kami hanya keluarga angkat dan terpaksalah reda."
Itu luahan bapa angkat kepada kanak-kanak malang yang dipanggil 'Adik" yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini petang Jumaat.
Md Tarmidi Yaaccob, 52 berkata, dia sekeluarga memang berhasrat untuk membawa balik jenazah kanak-kanak tersebut ke Rawang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, namun terkilan apabila masih tiada kata putus dari keluarga ibu kandungnya.
“Semalam ketika pihak polis panggil semua ahli keluarga ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bagi merakamkan kenyataan, kami ada berjumpa dengan nenek dan ahli keluarga kandung ‘Adik’.
“Isteri saya merayu-rayu kepada mereka untuk membenarkan kami membawa pulang jenazah ‘Adik’, tapi mereka kata perkara itu perlu diputuskan sendiri oleh ibu kandungnya yang kini ditahan polis,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini.
BACA: Ibu kandung mangsa lemas dalam tong, graduan diploma kaunseling
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera, mungkin sudah lama meninggal dunia - Jiran
BACA: Budak maut dalam tong air: Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri - Polis
Mengulas lanjut ujarnya, dia mengharapkan Allah melembutkan hati keluarga ‘Adik’ dan sempat meluahkan rasa syukur kerana urusannya sekeluarga sepanjang berada di Melaka, dipermudahkan.
“Saya tak putus doa supaya Allah lembutkan hati keluarga ‘Adik’ untuk benarkan kami bawanya pulang ke Rawang supaya isteri saya yang membesarkannya sejak lahir dapat ziarah kuburnya selalu.
“Sepanjang saya dekat sini (Melaka) juga kami menetap di rumah inap yang pemiliknya siapa pun kami tak kenal tetapi ya Allah layanannya macam adik-beradik kami,” tambahnya sambil menyeka air mata.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilaporkan berkata Ibu kandung kepada kanak-kanak itu pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.
Bagaimanapun katanya, wanita itu hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.
Perkembangan kes kematian kanak-kanak tujuh tahun
#jenazah #lemas dalam tong #meninggal dunia #keluarga angkat #kanak-kanak didera #Taman Krubong #Rawang #adik
;