"Kalau bahaya, mana buktinya?" - Pekerja Lynas, penduduk rayu kerajaan benarkan terus beroperasi
Ridauddin Daud
Februari 23, 2023 19:57 MYT
Februari 23, 2023 19:57 MYT
KUANTAN: “Yang dikata kanak-kanak terencat akal, ada bukti tak? Kata kanser, ada bukti tak?”
“Jangan sebut bahaya, bahaya, bahaya tapi buktinya tiada.”
Itu kata wakil pekerja Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) dan penduduk kampung berhampiran ketika menyertai Himpunan Aman Lynas bagi membantah kemungkinan lesen operasinya dibatalkan kerajaan, di sini pada Khamis.
Bukan hanya mereka tetapi ratusan yang lain ikut sama dalam bantahan itu selepas kerajaan meletakkan beberapa syarat bagi Lynas terus menjalankan sebarang aktiviti penghasilan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai ini.
Mereka kini buntu kerana dengan keputusan itu, ia bermakna kilang tersebut berisiko untuk ditutup sekali gus menyebabkan ratusan orang kehilangan pekerjaan.
Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza berkata, mereka kini mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula keputusan tersebut.
Dakwanya, mereka dilayan umpama ‘penjenayah’ sedangkan sudah banyak kali memberikan bukti bahawa operasi syarikat itu selamat.
Namun, dek kerana persepsi, mereka mendakwa terus ditekan sana-sini, hampir setiap hari, dihukum angkara spekulasi dan informasi tanpa bukti.
“Bila tiba pada Lynas, kami buat sesuatu orang tanya mana bukti, mana data, mana fakta, semuanya ada dalam laman web.
“Tapi kalau kumpulan menentang itu bersuara, ada ke anda minta bukti, tak pernah minta bukti! Yang kata kanak-kanak terencat akal, ada bukti tak? Yang kanser, ada bukti tak?
“Tiada orang minta bukti tapi anda percaya mereka. Tapi kami setiap langkah, nak bukti, bukti, bukti,” katanya ketika ditemui selepas demonstrasi tersebut.
Wakil penduduk kampung, Saharuddin Shamsudin pula berkata, kampungnya, Kampung Balok merupakan kampung terhampir dengan kilang tersebut.
Namun, selepas 11 tahun kilang itu beroperasi, dakwanya, tiada penduduk kampungnya menderita kanser yang kononnya boleh tercetus akibat radiasi dari kilang itu.
Disebabkan itu, dia percaya bahawa operasi kilang itu tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk.
“Kami percaya ia tak bahaya. Buktinya, zaman dahulu kerajaan dulu buat satu panel yang terdiri daripada pakar-pakar, buat kajian, buat laporan, kata ia tidak bahaya.
“Apabila tukar kerajaan, kerajaan baru tidak percaya panel terdahulu, dilantik pakar baharu, buat kajian. Panel pakar-pakar ini pun kata tidak bahaya. Habis di mana kesudahannya?
“Cari pakar lain pula. Pada kami, tak perlu pakar-pakar ini, dah lebih 10 tahun dah, tunjuk buktilah. Kalau kata bahaya, buktinya mana?” soalnya.
Menurut Saharuddin, sekiranya kilang itu ditutup, ia akan menjejaskan penduduk kampung dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi.
Perkembangan terbaharu melibatkan kilang itu membuatkan ratusan pekerjanya melakukan demonstrasi aman di Kampung Balok, Kuantan pada Khamis.
Semuanya meluahkan kebimbangan dengan nasib mereka dan berharap kerajaan mendengar rintihan mereka yang kini buntu memikirkan masa depan.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata Lynas tidak dibenar menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas permintaan Lynas untuk menggugurkan empat syarat berkaitan aktiviti projek itu ditolak.
Menurut Lih Kang perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (Lembaga) kepada Lynas Sdn Bhd pada 13 Februari lalu.
Lembaga juga jelas Lih Kang meluluskan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.
Lynas telah beroperasi di Gebeng, Pahang selama lebih 10 tahun, dengan kilangnya memproses nadir bumi tunggal terbesar di dunia dan satu-satunya pengeluar skala nadir bumi diasingkan di luar China.