'Kalau adik nangis, saya pujuk, saya suap makan' - Hussain jaga adik dalam kuarantin
Nur Fazlizai Ali
April 21, 2020 11:54 MYT
April 21, 2020 11:54 MYT
Usianya baru mencecah sembilan tahun namun terpaksa menggalas tanggungjawab sepanjang berada di pusat kuarantin bersama dua adiknya tanpa ditemani ibu bapa.
Itulah yang terpaksa ditempuhi Hussain Izzuddin Che Mamad selepas dimasukkan ke Pusat Kuarantin COVID-19 Marang (PKCM) di sini.
Hussain bersama dua lagi adiknya, Hassan Nasruddin, 7 tahun, dan Ali Akimuddin, 6 tahun, ditempatkan di pusat kuarantin itu sejak 7 April lalu selepas mempunyai kontak dengan individu dalam siasatan (PUI) melibatkan kes di sebuah pusat tahfiz di Pasir Putih, dekat sini.
Menurut pelajar tahfiz itu, sepanjang berada di pusat kuarantin itu, dia bertanggungjawab menjaga dan menguruskan dua adiknya itu.
Katanya, jika adiknya menangis dia akan memujuk dan mengajak mereka bermain karom dan dam.
Jelasnya, jika mereka merindukan kedua orang tuanya, dia dan adik-adiknya akan menelefon keluarga yang berada di Paka, Dungun, serta berdoa bagi mengubat kerinduan itu.
“Saya sedih sebab emak tiada (di sini). Dua minggu di sini, namun masih boleh keluar, boleh makan banyak, boleh main, sembahyang dan mengaji dan baca buku.
“Kalau adik menangis, saya kena pujuk, selepas itu saya suap makanan dekat adik-adik,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan berkata, dia sentiasa berdoa ibunya selamat selain melakukan rutin harian seperti mengaji dan bermain bersama abang dan adik.
Ketiga-tiga beradik itu dibenarkan pulang pada Isnin selepas bebas dari wabak COVID-19.
Jelas Hussain, sepanjang berada di pusat kuarantin itu, dia dan dua adiknya memenuhi masa terluang dengan mengaji al-Quran dan bermain untuk menghilangkan rasa rindu kepada keluarga.
Selain itu, mereka juga rindu untuk bertemu dengan orang tuanya namun terpaksa dipendamkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
#COVID-19
#ibu bapa
#individu dalam siasatan
#kontak
#kuarantin
#Marang
#PKCM
#PUI
#pulang
#rindu
#tahfiz