Kalau ada kuasa, 'semalam' lagi saya sudah umum MB Selangor - Tian Chua

Astro Awani
September 12, 2014 18:50 MYT
TIAN CHUA: Kalau ada kuasa, 'semalam' lagi saya sudah umum MB Selangor - Gambar fail
Kuasa untuk menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor dari berlarutan selain mengelak perselisihan dengan pihak istana terletak di tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, isu itu sudah selesai di pihak parti selain menyerahkan segalanya ke peringkat Istana Selangor.
"Kena tanya Sultan Selangor, Tuanku ada kuasa untuk selesaikan isu menteri besar.
"Kalau saya ada kuasa, semalam lagi saya sudah umum Menteri Besar Selangor," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Tian Chua mengulas kenyataan pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor dan Perlis yang menuntut penyelesaian segera berhubung krisis pelantikan jawatan Menteri Besar Selangor.
AMK kedua-dua negeri itu turut menyeru pimpinan tertinggi KEADILAN bertindak menyelesaikan isu tersebut dengan penuh bijaksana dan berhikmah.
Jelas Tian Chua, tuntutan AMK itu akan dipertimbangkan selain menyatakan PKR tidak mempunyai kuasa untuk memberi kata putus berhubung isu tersebut.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menjelaskan, isu itu dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.
"Insyaallah selesai, kita sudah hantar nama yang dipersetujui istana dan minta kawan-kawan AMK memberikan kepercayaan serta yakin dengan kepimpinan tertinggi parti.
"Kita akan selesaikan dengan semangat Pakatan Rakyat dan Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Selangor," ujarnya.
Sebuah portal yang memetik sumber melaporkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kini melobi parti itu memenuhi permintaan Istana Selangor agar mengemukakan lebih dari dua nama untuk jawatan menteri besar bagi mengelakkan persepsi bahawa PKR menentang sultan.
#AMK #Khalid #kongres #pakatan #Perlis #PKR #Selangor #Shamsul #tian
;