"Kalau 5 tahun lalu, saya tolak anugerah" -- Baha Zain

Astro Awani
Mac 15, 2013 06:42 MYT
Penyair Datuk Baharuddin Zainal bersyukur dan berterima kasih di atas pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Bagaimanapun kata Baharuddin, sekiranya anugerah ini diberikan kepadanya lima tahun lalu, beliau mungkin telah menolaknya.
"Apa guna saya menerima anugerah ini sekiranya Bahasa Melayu tidak lagi dimartabatkan di Tanah Melayu ini," katanya kepada Astro Awani.
Baharuddin atau nama penanya, Baha Zain merujuk kepada gerakan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau adalah antara aktivis bahasa dan sastera yang ikut terlibat aktif dalam gerakan massa itu ketika beliau memimpin Persatuan Penulis Nasional (Pena).
Dasar itu bagaimanapun dimansuhkan secara berperingkat oleh kerajaan mulai 2012 dan mata pelajaran Matematik dan Sains kini kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan serta dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Kerajaan juga pada masa mengumumkan langkah strategik untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
“Memandangkan perjuangan menentang dasar PPSMI berjaya mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu dalam sistem pelajaran Malaysia, hati saya telah terbuka untuk menerima pengiktirafan ini," katanya.
Jelas Baharuddin, beliau menerima anugerah itu dengan hati terbuka dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan tertinggi dan paling bermakna selama beliau memperjuangkan sastera dan bahasa.
"Mungkin orang melihat hadiah ini hanya sekadar ganjaran dan wang ringgit namun bagi saya ia lebih daripada itu terutamanya dalam perjuangan saya memartabatkan bahasa Melayu," katanya.
Tambah Baharuddin, anugerah itu tentunya akan merangsang beliau untuk terus menulis dan melihatnya sebagai satu peringatan terhadap bakat dan amanah yang dikurniakan kepadanya sebagai seorang penulis.
“Saya juga ingin berkongsi pengiktirafan ini kepada semua golongan penulis, penerbit dan editor yang bertugas menerbitkan karya saya. Tanpa mereka mungkin saya tidak akan sampai ke tahap ini," ujarnya.
Baha Zain diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-12 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
Majlis penganugerahan akan disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada suatu tarikh yang ditetapkan kelak.
Baha Zain bakal menerima Watikah Penghormatan Negara serta wang tunai RM60,000. Beliau juga bakal menerima kemudahan-kemudahan lain seperti berikut:

Pemilihan Baha Zain juga disambut baik oleh peminat sastera tanah air.

Baha Zain dinamakan sasterawan negara, aku gembira, patutnya dulu lagi, sajak2 beliau dah jadi teks sastera di sekolah sejak hujung 70an

— helme hanafi(@ayathelme) March 15, 2013
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Penyair, pemikir, pengkritik sastera, politik, sosial Malaysia, Baha Zain diumumkan sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-12! Tahniah!

— Nazmi Yaakub (@bukunota) March 15, 2013
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Tahniah kepada Datuk Baha Zain. Semoga Malaysia tidak lupa pula akan kejayaan Tan Twan Eng.

— Uthaya Sankar SB (@uthayasb) March 15, 2013
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tuit terakhir itu merujuk kepada kejayaan penulis Malaysia, Tan Twan Eng memenangi hadiah utama sastera Asia, ‘Man Asian Literary Prize’ melalui novelnya, “The Garden of Evening Mists" yang diumumkan pada Khamis. Beliau mengalahkan empat novel lain yang disenarai pendek termasuk Silent House oleh penulis Turki, Orhan Pamuk.
Biodata
Baha Zain, 72 tahun, merupakan anak kelahiran Teluk Intan, Perak. Beliau telah mula berkarya di sekolah menengah dan menerbitkan kumpulan puisi pertamanya, Perempuan dan Bayang-Bayang pada 1974.
Kumpulan puisi pertamanya itu kemudian disusun semula bersama kumpulan puisi Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978) serta beberapa buah puisi baru dalam antologi Tiga Catatan Perjalanan yang terbit pada 1980.
Kemuncak kepenyairannya terserlah dalam kumpulan puisi Jalan Desa ke Kota yang menampakkan kematangan Baha Zain sebagai penyair yang merakamkan pandangan dan perasaannya terhadap apa yang berlaku di sekeliling beliau terutamanya pertembungan antara nilai tradisi dan moden.
Baha Zain pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, bermula sebagai pekerja sementara pada 1962, terlibat menyusun kamus serta memimpin majalah Dewan Sastera pada akhir dekad 1970-an. Beliau meninggalkan DBP pada 1984 dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pengarah.
Selain puisi, Baha Zain terlibat menyusun beberapa karya lama termasuk Hikayat Cekel Waneng Pati yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Bekas Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) ini pernah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara daripada kerajaan Thailand pada 1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) pada 2004 dan Anugerah Penyair Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) pada 2008.
Beliau juga menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional yang diperkenalkan buat julung kalinya pada 2011. Ia bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Baha Zain semasa menerajui PENA sehingga jadi sebuah persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini.
Anugerah Sastera Negara sebelum ini diberikan kepada penyair Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala pada 2011.
#Baha Zain #Baharuddin Zainal #Muhyiddin Yassin #sastera #Sasterawan Negara
;