Kalah PRN, Bill Kayong tetap tokoh disegani masyarakat Sarawak
Madiha Abdullah
Jun 21, 2016 12:24 MYT
Jun 21, 2016 12:24 MYT
Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kejadian tembakan yang mengorbankan Bill Kayong, Setiausaha PKR Cabang Miri dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.
Menurut laporan, dia dikatakan ditembak di lampu trafik berhampiran sebuah pusat beli-belah, di Senadin, Miri.
Siapa Bill Kayong?
1. Bill merupakan setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri.
2. Berusia 43 tahun, juga berpengalaman bertugas sebagai setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.
3. Lulusan Reid Kerr College, United Kingdom.
4. Merupakan ahli Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), dan aktif sebagai aktivis masyarakat Dayak.
5. Lantang dalam memperjuangkan hal ehwal kebajikan tanah adat masyarakat Dayak.
6. Tewas kepada calon BN, Rosey Yunus, pada PRN yang lalu dengan perbezaan 4,789 undi.
7. Post terakhir di akaun Facebook peribadinya adalah status yang dikongsi berhubung isu kehilangan pesawat MH370, kira-kira 16 jam yang lalu.
Pemerhatian di laman sosial mendapati Bill, biarpun tidak menang pilihanraya lalu, dia disegani kelompok masyarakat Dayak khususnya, dan Sarawak amnya.
Majoriti terkejut dengan nasib yang menimpa Bill dan berharap pihak yang bertanggungjawab akan segera dihadapkan ke muka pengadilan.
Ahli politik seangkatan dengan Bill juga tidak ketinggalan mengucapkan takziah.