Kakitangan TNB hina institusi raja digantung tugas

Bernama
Januari 8, 2019 22:19 MYT
Tindakan itu diambil setelah satu siasatan dalaman dijalankan.
Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja digantung tugas serta-merta.
TNB dalam satu kenyataan di sini malam Selasa menyatakan tindakan itu diambil setelah satu siasatan dalaman dijalankan.
"Sebagai syarikat yang mengutamakan nilai-nilai murni dan integriti tinggi, kami tidak berkompromi terhadap mana-mana kakitangan kami yang membuat kenyataan sebegini," menurut kenyataan itu.
TNB juga menegaskan, kenyataan yang dibuat oleh kakitangan berkenaan di akaun media sosialnya adalah pendapat individu itu sendiri dan bercanggah dengan prinsip TNB.
Petugas berkenaan baru-baru ini mengundang kemarahan netizen apabila dia bersama seorang lagi pemilik akaun yang dipercayai suaminya menulis komen berbaur menghina institusi diraja dan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook, Eric Liew juga diselar netizen berikutan komen jelek terhadap Sultan Muhammad V di media sosialnya yang tular menyebabkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis dan mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar bertindak tegas kepada pemilik akaun itu.
Liew bagaimanapun telah menarik balik kenyataanya dan membuat permohonan maaf dalam akaun laman sosialnya.
-- BERNAMA
#Facebook #gantung tugas #Media #NGO #PDRM #Pemuda UMNO #TNB #UMNO #Yang di-Pertuan Agong
;