Kakitangan positif COVID-19, kaunter pelanggan Lembaga Air Kuching ditutup
Bernama
Januari 29, 2021 16:20 MYT
Januari 29, 2021 16:20 MYT
KUCHING: Lembaga Air Kuching (KWB) menutup Kaunter Khidmat Pelanggan dan Pembayaran berkuat kuasa serta-merta selama dua minggu mulai hari ini hingga 12 Feb selepas seorang daripada kakitangannya positif COVID-19.
Pengurus Besarnya Rodziah Mohamad dalam kenyataan berkata kali terakhir kakitangan itu masuk ke premis KWB adalah pada 25 Jan lepas dan kumpulan rakan sekerja yang dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan sebagai kontak rapat telah dikuarantin di rumah masing-masing sementara menunggu ujian calitan COVID-19.
KWB juga telah memulakan proses sanitasi di seluruh premis di Jalan Batu Lintang dan memberi jaminan bahawa mereka akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
"Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan berterima kasih atas kefahaman anda," katanya.
-- BERNAMA