Kakitangan positif COVID-19, Bank Islam cawangan Lahad Datu ditutup sementara
Najib Aroff
Oktober 11, 2020 13:12 MYT
Oktober 11, 2020 13:12 MYT
LAHAD DATU: Bank Islam Malaysia Berhad menutup sementara cawangan Lahad Datu termasuk terminal layan diri berkuat kuasa serta-merta selepas seorang kakitangannya positif COVID-19.
"Kakitangan tersebut kini sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan.
"Kakitangan terbabit dan anggota keluarga terdekatnya telah menjalani tempoh kuarantin rumah sejak 28 September 2020 setelah melakukan perjalanan ke Tawau baru-baru ini.
"Langkah itu (menutup cawangan) diambil sesuai dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan Bank Islam mengenai COVID-19," menurut kenyataan bank itu pada Ahad.
Bank Islam sedang menjalankan proses sanitasi dan pembersihan di cawangan berkenaan secara menyeluruh, termasuk ruang-ruang kemudahan umum.
Bank Islam juga sudah menjejaki kontak rapat kakitangan tersebut serta menasihati mereka supaya menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di rumah.
"Saya ingin menekankan kepada semua pelanggan bahawa kesemua premis kami berada dalam keadaan bersih dan selamat setelah kerja-kerja sanitasi dijalankan.
"Sebarang kesulitan yang timbul susulan langkah-langkah yang dilaksanakan ini amat kami kesali,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed
Mengambil maklum akan situasi semasa di Sabah, bank itu juga akan mengecualikan caj pengeluaran tunai di mesin MEPS supaya pelanggan bebas melakukan pengeluaran di mana-mana mesin ATM berdekatan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO).